Freedom Flotilla to Gaza: Semua delegasi diminta pulang, FFC akan maklumkan tarikh baharu misi

Syafik Shukri Jalil
April 26, 2024 06:15 MYT
Delegasi Makaysia yang terlibat dalam misi Break The Siege: Freedom Flotilla to Gaza diminta pulang ke negara masing-masing selepas Freedom Flotilla Coalition tidak dapat meneruskan misi penghantaran bantuan ke Gaza untuk kali ini.
ISTANBUL: Kesemua delegasi yang terlibat dalam misi Break The Siege: Freedom Flotilla to Gaza diminta pulang ke negara masing-masing selepas Freedom Flotilla Coalition (FFC) tidak dapat meneruskan misi penghantaran bantuan ke Gaza untuk kali ini.
Menurut Jawatankuasa Pemandu FFC, Ann Wright, pihaknya akan memaklumkan perkembangan terbaharu kepada semua delegasi terlibat sekiranya tarikh akhir pelayaran ditetapkan.
“Kita mencadangkan agar anda semua pulang ke negara masing-masing terlebih dahulu dan kami akan maklumkan dari semasa ke semasa sekiranya ada perkembangan terbaharu.
“Sejurus kami dapat melakukan pendaftaran baharu buat kapal terlibat, anda semua yang sepatutnya memulakan pelayaran ini bersama kami akan dimaklumkan terlebih dahulu,” katanya.
Wright berkata demikian dalam sesi taklimat bersama semua delegasi terlibat di sini, pada lewat Jumaat.
Terdahulu, kerajaan Republik Guinea-Bissau dilaporkan tunduk dan akur kepada gesaan Israel untuk tidak membenarkan misi pelayaran Break The Siege: Freedom Flotilla to Gaza menggunakan bendera mereka.
Pada masa sama, Republik Guinea-Bissau mengekemukakan syarat remeh dengan meminta FFC menandatangani dokumen yang mengesahkan mereka tidak akan menggunakan kapal penumpang itu untuk menghantar bantuan ke Gaza.
Malah mereka juga meminta agar pihak berkuasa pelabuhan bagi lokasi terakhir yang dituju untuk memberi dokumen pengesahan bagi mengesahkan lokasi terakhir pelayaran kapal itu.
Tarikh pelayaran ketiga-tiga kapal yang terlibat dalam misi ini sebelumnya telah beberapa kali ditukar.
Ia melibatkan satu kapal kargo dengan muatan 5,000 tan dan dua buah kapal penumpang yang boleh memuatkan lebih 1,000 orang.
Kapal-kapal ini akan membawa bantuan kemanusiaan yang mendesak seperti bantuan perubatan, pek makanan, pakaian, khemah perlindungan dan beberapa buah kenderaan termasuk lapan buah ambulans.
#Freedom Flotilla to Gaza #pelayaran ditangguh #misi Break The Siege #Freedom Flotilla Coalition
;