Freedom Flotilla to Gaza: Sekumpulan pakar PBB gesa laluan selamat bagi misi penghantaran bantuan

Syafik Shukri Jalil
April 26, 2024 23:15 MYT
Kenyataan antara lain dikeluarkan kerana wujud kebimbangan akan berlaku sebarang provokasi dicetuskan tentera rejim sekiranya pelayaran dimulakan kelak. - Gambar fail/UN
ISTANBUL: Sekumpulan pakar dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa agar laluan selamat bagi misi Break The Siege Freedom Flotilla to Gaza pada Jumaat.
Gesaan dibuat menerusi satu kenyataan bersama yang menyebut misi melibatkan tiga kapal ini memiliki hak untuk melalui perairan antarabangsa dan Israel tidak boleh campur tangan dalam misi tersebut.
Malah hak tersebut telah lama termaktub di bawah undang-undang antarabangsa.
“Sekiranya misi ini sudah mendekati perairan wilayah Palestin di sekitar Gaza, adalah penting bagi rejim Israel untuk mematuhi undang-undang antarabangsa.
“Ini termasuk arahan dari Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menggesa agar satu akses tanpa halangan diberikan bagi tujuan menyampaikan bantuan kemanusiaan,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan antara lain dikeluarkan kerana wujud kebimbangan akan berlaku sebarang provokasi dicetuskan tentera rejim sekiranya pelayaran dimulakan kelak.
Ini bertitik tolak daripada peristiwa pada 2010 di mana tentera rejim Zionis bertindak menyekat dan menyerang kapal Gaza Freedom Flotilla di perairan antarabangsa.
Provokasi dan serangan tersebut juga menyebabkan 10 peserta misi terkorban dan seterusnya mendapat perhatian global.
“Kita khususnya bimbang akan keselamatan peserta misi kali ini dan pastinya mengimbau serangan berulang Israel terhadap beberapa misi kemanusiaan sebelum ini," jelas kenyataan itu.
#wujud kebimbangan #sebarang provokasi #peserta misi #misi kemanusiaan
;