Freedom Flotilla to Gaza: Misi sekali lagi ditangguhkan, dijangka berlepas pada Jumaat

Syafik Shukri Jalil
April 23, 2024 00:52 MYT
Ann Wright berkata, ketika ini lokasi kapal memulakan pelayaran akan ditukarkan ke satu lokasi yang akan diumumkan dalam masa terdekat. - Astro AWANI
ISTANBUL : Misi Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla yang dijadualkan memulakan pelayaran pada 24 April 2024 (Rabu) sekali lagi ditangguhkan ke 26 April 2024 (Jumaat).
Menurut Jawatankuasa Pemandu Freedom Flotilla Coalition (FFC), Ann Wright, ketika ini lokasi kapal memulakan pelayaran akan ditukarkan ke satu lokasi yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
Perkara itu diumumkan Wright menerusi taklimat harian kepada semua delegasi terlibat di Istanbul, Turki pada petang Selasa.
“Saya memohon kepada semua delegasi untuk memanjangkan tempoh menginap di hotel yang anda duduki sekurang-kurangnya sehari.
“Kapal yang berlabuh di Tuzla tempoh hari akan bergerak ke satu pelabuhan lain dan segala maklumat terbaharu akan kami (FFC) maklumkan kemudian.
“Tetapi setakat ini kita semua akan memulakan pelayaran pada 26 April 2024 bersamaan Jumaat ini,” katanya.
Ini merupakan pertukaran tarikh yang kedua bagi misi pelayaran yang sepatutnya dijadualkan belayar memasuki Laut Mediterranean pada 21 April 2024.
Ia bagaimanapun ditangguhkan buat kali pertama kepada 24 April 2024 susulan masalah teknikal yang dihadapi kapal-kapal yang terlibat.
Pada masa sama, Kerajaan Turki turut dilaporkan dilobi beberapa negara kuasa besar bagi membatalkan misi ini.
Ia sekali gus memberi indikasi bahawa desakan kuat negara kuasa besar terlibat kepada kerajaan pimpinan Recep Tayyip Erdogan untuk membatalkan keseluruhan misi penghantaran bantuan ke Gaza.
#Gaza #Freedom Flotilla #pelayaran #misi breal the siege
;