Freedom Flotilla to Gaza: Misi melalui perairan antarabangsa, bukan Israel - Huwaida Arraf
Syafik Shukri Jalil
April 24, 2024 18:30 MYT
April 24, 2024 18:30 MYT
ISTANBUL: Misi Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla yang dijadual memulakan pelayaran pada Jumaat ini tidak akan menggunakan laluan di perairan Israel bagi menghantar bantuan terus masuk ke Gaza.
Menurut Peguam Hak Asasi Manusia yang juga merupakan warga Palestin-Amerika Syarikat, Huwaida Arraf, misi ini akan melalui perairan antarabangsa sebelum memasuki kawasan perairan Palestin.
“Menerusi perancangan laluan ini, ia jelas tidak akan mendatangkan apa-apa ancaman kepada rejim Israel dan angkatan tentera lautnya dan segala apa yang diusahakan tidak bertentangan sama sekali dengan undang-undang.
“Kita melakukan segala perancangan bagi memastikan keselamatan kapal-kapal yang terlibat sekali gus berharap agar dapat masuk ke Gaza bagi menghantar semua bantuan ini dengan jayanya,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram @gazafreedomflotilla baru-baru ini.
Justeru, beliau menggesa agar liputan secara meluas dapat dilakukan oleh petugas media terlibat termasuk semua media di peringkat antarabangsa bagi mewar-warkah misi ini kepada masyarakat global.
“Kami (Freedom Flotilla Coalition) menyeru agar semua media dapat mendokumentasikan misi ini sebaiknya bagi memperlihatkan kepada masyarakat dunia tentang agenda misi ini secara keseluruhannya.
“Sebagai manusia biasa yang hanya berniat menghantar bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza, saya juga menyeru warga global untuk sama-sama menjadi sebahagian daripada inisiatif murni ini.
“Kami bukan sahaja memerlukan mereka yang menjadi peserta misi, kami memerlukan penyertaan anda semua untuk terus menyebarkan berita berkenaan misi ini bagi membolehkan pelayaran kami selamat dan berjalan lancar seperti dirancang,” tambahnya lagi.
Misi Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla dijadualkan memulakan pelayaran pada 26 April 2024 (Jumaat).
Tiga buah kapal terdiri daripada satu kapal kargo 5,000 tan dan dua kapal penumpang yang boleh memuatkan lebih 1,000 peserta terlibat dalam misi ini.
Kapal-kapal ini akan membawa bantuan kemanusiaan yang mendesak seperti bantuan perubatan, pek makanan, pakaian, khemah perlindungan dan beberapa buah kenderaantermasuk lapan buah ambulans.
#Freedom Flotilla to Gaza
#Break the Siege
#Huwaida Arraf
#peguam hak asasi manusia
#konflik Palestin Israel