Freedom Flotilla to Gaza: 'Konflik Israel-Iran bukan urusan kami' - FFC
Syafik Shukri Jalil
April 19, 2024 05:00 MYT
April 19, 2024 05:00 MYT
ISTANBUL: Misi Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla tetap akan diteruskan sekiranya konflik di antara Israel dan Iran terus meningkat dalam tempoh beberapa hari mendatang.
Perkara itu ditegaskan Jawatankuasa Pemandu Freedom Flotilla Coalition (FFC), Ann Wright.
Tambahnya apa sahaja yang berlaku di antara dua negara tersebut tidak akan sesekali menjejaskan perancangan FFC untuk menghantar bantuan kemanusiaan yang mendesak kepada penduduk di Gaza.
“Kami tetap akan meneruskan pelayaran, apa yang dilakukan Israel terhadap Iran adalah urusan mereka.
“Ia bukan urusan kami (FFC), agenda kami adalah meneruskan pelayaran masuk ke Gaza,” katanya selepas sesi taklimat bersama peserta Freedom Flotilla to Gaza di Istanbul pada Jumaat.
Terdahulu, FFC mengesahkan tiga kapal yang terlibat dalam misi Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla dijangka akan memulakan pelayaran pada 24 April 2024 bersamaan hari Rabu.
Ia selepas pihak FFC mendapati kesemua kapal terlibat masih berdepan beberapa aspek teknikal yang menyebabkan pelayaran sebelum ini, dijadualkan pada 21 April (Ahad), ditangguhkan sementara.
Pada masa sama, Wright berkata FFC juga telah menghantar wakil mereka bertemu dengan wakil tertinggi kerajaan Turki di Ankara bagi memberi tekanan kepada kerajaan negera ini bagi memastikan kelancaran pelepasan kapal-kapal terlibat dalam misi tersebut.
Pada awal Jumaat, peluru berpandu dipercayai milik Israel mengenai sebuah tapak di Iran, menurut laporan ABC News memetik seorang pegawai tertinggi Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun setakat ini, tiada sebarang kenyataan dibuat pemimpin utama Iran berhubung serangan pada Jumaat oleh Israel.