Freedom Flotilla to Gaza: Ketegasan Malaysia sekat kapal Israel wajar dicontohi

Syafik Shukri Jalil
April 25, 2024 09:10 MYT
Mandla berkata, walaupun usaha itu dilihat kecil namun ia mampu memberi tekanan kepada rejim Zionis dan menjadi contoh kepada komuniti global. - Foto X/@QudsNen
ISTANBUL: Tindakan Kerajaan Malaysia melarang syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel iaitu ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan di negara itu, wajar dijadikan contoh.
Menurut Mandla Mandela, walaupun usaha itu dilihat kecil namun ia mampu memberi tekanan kepada rejim Zionis dan menjadi contoh kepada komuniti global untuk bersama-sama mengutuk keganasan yang terus menerus dilakukan Israel terhadap warga Palestin.
“Sebagai contoh, di Malaysia mereka tidak lagi membenarkan kapal-kapal rejim Zionis berlabuh di pelabuhan mereka.
“Untuk itu, saya mengajak komuniti global untuk sama-sama melakukan tindakan sama supaya mereka tidak lagi boleh berdagang dengan bebas.
“Saya melihat tindakan dan usaha sebegini boleh dilakukan dan saya berharap dengan sekatan begini, ia juga mampu membawa perubahan yang diperlukan,” katanya ketika ditemui delegasi media Malaysia di Istanbul pada lewat Rabu.
Pada Disember tahun lalu, kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel iaitu ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.
Anwar pada masa sama turut mengarahkan Kementerian Pengangkutan untuk mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat itu berkuat kuasa serta-merta.
Selain itu, Mandla juga berkata peristiwa Teluk San Francisco yang berlaku pada 1984 juga wajar dicontohi oleh masyarakat dunia khususnya pemimpin Amerika Syarikat.
Ini kerana ujarnya, ia merupakan tahun di mana sekatan dilakukan kepada kapal yang membawa produk dari Afrika Selatan di pelabuhan Pier 80.
“Kalau menyentuh peristiwa Teluk San Francisco, pastinya sejarah ini akan terus segar di ingatan warga Afrika Selatan dengan sokongan yang dizahirkan oleh pekerja pelabuhan di sana.
“Mereka pada ketika itu bertindak untuk menyekat semua produk yang datang dari Afrika Selatan dan langkah solidariti mereka ini nyata menjadi satu kempen di peringkat global.
“Jadi saya menggesa agar perkara sama yang berlaku di San Francisco untuk kami, boleh diteruskan warga global bagi memastikan tiada produk dan kapal dagang dari Israel berlabuh di pelabuhan mereka,” tambahnya.
Peristiwa Teluk San Francisco memainkan peranan penting dalam gerakan anti-apartheid di Afrika Selatan dan pelbagai bentuk protes dijalankan pada era tersebut.
Selain itu, berlaku pelbagai demonstrasi, pehimpunan dan kempen dianjurkan aktivis kemanusiaan bagi meningkatkan kesedaran tentang apartheid.
Kesemua tindakan itu juga sebagai usaha menekan kerajaan Amerika Syarikat untuk mengambil tindakan menentang kezaliman tersebut.
#Freedom Flotilla to Gaza #Mandla Mandela #syarikat perkapalan #Israel
;