Freedom Flotilla to Gaza: Kami bersedia dengan misi ini - Peserta

Syafik Shukri Jalil
April 20, 2024 06:00 MYT
Dari kiri, Carlos Michaud, Wynd Kaufmyn dan Sumeyra Akdeniz Ordu. - Foto Astro AWANI
ISTANBUL: Para peserta melibatkan delegasi 30 negara kini sudah bersedia sepenuhnya untuk memulakan misi pelayaran Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla.
Reaksi tersebut dikongsikan kepada Astro AWANI sejurus selesai latihan tanpa kekerasan (non violence training) yang berlangsung di sini pada petang Sabtu.
Antara yang terlibat, Carlos Michaud dari Amerika Syarikat yang berkata, sesi latihan yang dikendalikan Freedom Flotilla Coalition (FFC) nyata memberi bayangan awal kepada semua peserta terlibat dalam memahami dan mendepani situasi sebenar sekiranya berlaku sebarang bentuk ancaman dan konfrontasi oleh tentera rejim Israel.
“Latihan simulasi yang memberi gambaran tentang situasi sebenar nyata sangat menakutkan dengan beberapa aksi lakonan semula yang sedikit sebanyak memberi bayangan kepada semua peserta akan sebarang kemungkinan yang mungkin kami hadapi.
“Namun rasa takut ini tidak cukup untuk menghalang hasrat kami semua bagi menjayakan misi ini, biarpun ia boleh merisikokan nyawa kami kerana apa yang dilakukan adalah sesuatu yang murni iaitu menghantar bantuan bagi mereka yang memerlukan di Gaza,” katanya.
Sementara itu, Wynd Kaufmyn juga dari Amerika Syarikat menyifatkan, walaupun misi ini mempunyai risikonya tersendiri, dia berharap agar segalanya dapat berjalan lancar seperti yang dirancang.
Kaufmyn pada masa sama juga berharap agar dia boleh pulang ke negaranya dengan selamat sejurus misi ini selesai.
“Kami akan tetap menjayakan misi memecahkan kepungan tentera Zionis ini namun saya juga berharap dapat pulang ke negara saya dengan selamat.
“Walaupun kami didedahkan dengan pelbagai bentuk risiko yang mungkin akan berlaku, namun fokus saya tetap satu iaitu dapat menghantar bantuan kepada mereka yang memerlukan dengan jayanya,” ujarnya.
Bagi Sumeyra Akdeniz Ordu dari Turki pula, latihan yang dilalui benar-benar memberi gambaran awal akan risiko sebenar yang bakal mereka depani dalam menjayakan misi ini.
Sumeyra yang turut ditemani suaminya, Suayb Ordu dalam misi ini mendedahkan bahawa latihan yang diberikan memberikannya motivasi untuk terus membantu mereka yang memerlukan di Gaza.
“Apa yang didedahkan dalam latihan ini seolah-olah kejadian yang sebenar. Saya akui agak panik dan tidak boleh berhenti mengalirkan air mata.
“Saya sedar dengan menyertai misi ini, ia memberi risiko yang besar kepada saya namun saya tetap gembira dengan keputusan untuk menyertai misi ini,” katanya.
Ketiga-tiga mereka selesai menjalani latihan tersebut bersama delegasi dari Malaysia, Kanada, Algeria, Belanda dan Sepanyol pada Sabtu.
Sesi yang dikendalikan FFC ini merupakan salah satu prosedur wajib sebelum memulakan misi Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla.
#Freedom Flotilla #Gaza Freedom Flotilla #pelayaran #latihan tanpa kekerasan
;