Freedom Flotilla to Gaza: Cucu Nelson Mandela antara peserta misi bantuan
Syafik Shukri Jalil
April 24, 2024 07:10 MYT
April 24, 2024 07:10 MYT
ISTANBUL: Cucu kepada mantan Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela, menjadi antara peserta yang akan menyertai misi Break The Siege: Freedom Flotilla to Gaza yang dijadualkan memulakan pelayaran pada 26 April 2024 (Jumaat).
Mandla Mandela yang juga merupakan Ahli Parlimen African National Congress (ANC) sejak 2009 berkata, penyertaannya dalam misi ini bagi sama-sama menyokong misi memecah sekatan rejim Israel bagi membolehkan penghantaran bantuan ke Gaza dapat direalisasikan.
“Kita nak memastikan menerusi misi ini, sekatan yang dilakukan rejim Zionis bagi membolehkan sebarang penghantaran bantuan ke Gaza dapat dihentikan seterusnya membantu masyarakat di sana.
“Pada 2010, rejim ini pernah menyekat misi yang sama (Gaza Freedom Flotilla) dan bertindak di luar batasan dengan membunuh sepuluh peserta yang terlibat dalam misi tersebut.
“Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum ini mengarahkan Israel bagi mempermudah urusan penghantaran bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza namun mereka kekal rakus dan tidak mengendahkan seruan itu.
“Sekiranya mereka sekali lagi bertindak sedemikian pada misi ini, ia pasti akan mendedahkan kepada dunia tentang kejahatan dan kerakusan mereka,” katanya.
Pada Mac lepas, panel hakim di ICJ sebulat suara memerintahkan Israel untuk mengambil tindakan segera dan berkesan bagi menjamin penghantaran bekalan makanan asas kepada warga Palestin yang dikepung di Gaza.
ICJ mengeluarkan perintah itu memandangkan kehidupan penduduk Gaza yang semakin teruk terkesan dengan kebuluran dan kelaparan merebak dengan pantas berikutan sekatan Israel.
Mandla dikenali sebagai penyambung legasi datuknya yang turut dikenali dunia sebagai pro-Palestin serta mempunyai hubungan yang akrab dengan pemimpin Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Allahyarham Yasser Arafat.
Di pentas global, Afrika Selatan yang dipimpin Cyril Ramaphosa merupakan antara negara yang paling aktif memperjuangkan nasib warga Palestin khususnya di Gaza.
Pada Disember 2023, Afrika Selatan memulakan prosiding di ICJ bagi memohon mahkamah antarabangsa itu menyiasat jenayah genosid yang didakwa dilakukan rejim Israel di Gaza, dan memutuskan segera bahawa Israel melanggar Konvensyen Genosid 1948.
Negara itu juga memohon mahkamah memutuskan supaya Israel segera menghentikan tindakan keganasannya dan juga telah melakukan pembentangan di ICJ pada Januari lalu.
Tindakan Afrika Selatan itu jelas menunjukkan kepada dunia bahawa perjuangan Nelson Mandela masih diteruskan dalam memastikan Palestin bebas dan merdeka daripada cengkaman Israel.
Nelson Mandela merupakan seorang aktivis anti-apartheid dan ahli politik dari Afrika Selatan.
Mandela atau dikenali sebagai Madiba dilahirkan pada tahun 1918 dan pernah dipenjarakan selama 27 tahun atas peranannya dalam menentang sistem apartheid yang merampas hak-hak kaum kulit hitam secara keras.
Selepas dibebaskan pada tahun 1990, beliau berperanan penting dalam peralihan negara Afrika Selatan menuju ke arah sistem demokrasi yang inklusif.
Pada 10 Mei 1994, Mandela dipilih menjadi Presiden Afrika Selatan yang pertama yang terpilih secara demokratik sekali gus menjadi presiden kulit hitam pertama negara tersebut.
Beliau juga dikenali sebagai tokoh perdamaian dan penyatuan antara kaum.
Mandela meninggal dunia pada tahun 2013, meninggalkan warisan yang kuat dalam perjuangan hak asasi manusia dan perubahan sosial.