Freedom Flotilla to Gaza: 'Berhadapan tekanan Israel, FCC tiada istilah putus asa'
Syafik Shukri Jalil
April 26, 2024 18:27 MYT
April 26, 2024 18:27 MYT
ISTANBUL: "Israel perlu ingat, tiada istilah berputus asa dalam kamus kami!".
Demikian tegas Jawatankuasa Pemandu Freedom Flotilla Coalition (FFC), Dr Fauziah Hasan, susulan tekanan demi tekanan yang dicetuskan Israel bagi melengahkan pelancaran misi Break The Siege Freedom Flotilla to Gaza.
Dr Fauziah mengulas mengenai perkembangan terbaharu pemeriksaan kapal penumpang, Akdeniz (Mediterranean) yang terlibat dalam misi itu yang masih berjalan dan belum selesai.
Dr Fauziah, menerusi taklimat ringkas yang berlangsung bersama semua delegasi terlibat di Istanbul pada Jumaat berkata: “(Pemeriksaan) sepatutnya selesai pada pagi tadi tapi kami dimaklumkan bahawa pemeriksaan masih berlangsung sehingga sekarang.
“Kita faham sebab pemeriksaan itu bermula petang semalam dan kita tahu kapal ini sangat besar sudah tentu banyak lagi yang perlu diperiksa, banyak aspek yang perlu diteliti sebelum mendapat kebenaran belayar,” katanya.
FFC menerusi satu kenyataan awal pagi tadi melaporkan mendakwa pihak rejim Israel sedang memberi tekanan hebat kepada Republik Guinea Bissau untuk menarik balik benderanya daripada kapal utama misi ini iaitu Akdeniz (Mediterranean).
Atas tekanan tersebut, FFC berkata kerajaan Republik Guinea Bissau pula bertindak mengarahkan agar satu pemeriksaan menyeluruh terhadap kapal penumpang tersebut dijalankan.
Pada masa sama, Dr Fauziah sekali lagi berkata, ini semua adalah taktik yang digunakan rejim Zionis untuk melengah-lengahkan dalam cubaan memberi tekanan supaya misi ini dibatalkan.
“Republik Guinea Bissau didakwa mempunyai kumpulan pemeriksaan mereka sendiri di Turki namun untuk pemeriksaan kapal misi ini, mereka terbangkan dari negara lain.
“Ini jelas satu tindakan terdesak rejim Israel untuk membuatkan semua peserta penat, habis duit dan paling mustahak berputus asa dengan misi ini.
“Mereka perlu ingat, perkataan putus asa itu tidak ada dalam kamus kami,” tambahnya.
Misi pelayaran Break The Siege Freedom Flotilla to Gaza yang sepatutnya memulakan pelayaran pada hari ini (Jumaat) sekali lagi ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
FFC berkata, hal ini berlaku disebabkan kekacauan ditimbulkan rejim Israel yang terus-menerus mahu menghalang pergerakan kapal-kapal terlibat dalam misi ini.