Freedom Flotilla di Gaza: Pemimpin dunia diminta tampil beri sokongan jayakan misi - FFC
Syafik Shukri Jalil
April 20, 2024 06:15 MYT
April 20, 2024 06:15 MYT
ISTANBUL: Pemimpin dunia diminta tampil menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi dalam menjayakan misi Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla.
Menurut Jawatankuasa Pemandu Freedom Flotilla Coalition (FFC), Ann Wright, sokongan dan kerjasama pemimpin dunia penting dalam memastikan kekejaman rejim Israel terhadap penduduk di Gaza dapat dihentikan segera.
Malah katanya dengan penyatuan kesemua pemimpin dunia, ia dilihat mampu mendesak kepada satu usaha jitu dalam menjayakan gencatan senjata yang berkekalan bagi membolehkan segala keperluan penyaluran bantuan ke Gaza dapat direncanakan sebaiknya.
“Saya menyeru kepada pemimpin seluruh dunia untuk sama-sama tampil dan membantu dalam usaha menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, membantu mereka yang memerlukan di sana seterusnya menyokong misi yang kami jayakan ini.
“Satu usaha menjayakan gencatan senjata mesti direncanakan dan hanya dengan penyatuan pemimpin dunia akan mampu menoktahkan kekejaman berterusan ini.
“Apa sahaja usaha perlu dilakukan termasuk melakukan sekatan ekonomi kepada pihak rejim, mengasingkan mereka (Israel) dalam jua bentuk diplomatik serta melakukan apa sahaja yang boleh untuk menghentikan kezaliman ini,” katanya.
Wright yang juga merupakan warga Amerika Syarikat (AS) pada masa sama turut mengutuk keras tindakan pimpinan negaranya yang terus menerus menjadi rakan sekutu Israel selain terus ‘menghalalkan’ segala bentuk kekejaman dan kezaliman yang dilakukan rejim Zionis di Gaza.
“Saya sebagai rakyat Amerika Syarikat merasakan apa yang dilakukan oleh pimpinan negara kami sebagai sesuatu yang amat dasyat.
“Mereka terus bersekongkol dengan pembunuhan beramai-ramai kerana beberapa kali sebelum ini mereka (AS) memveto segala keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam usaha mengerahkan gencatan senjata di Gaza.
“Malah negara saya juga membekalkan dana kepada Israel untuk membeli senjata dalam menjayakan misi mereka di Gaza.
“Untuk itu, tiada cara lain selain menggesa kesemua pemimpin dari seluruh dunia untuk bertindak melakukan apa sahaja yang perlu dalam menghentikan semua kezaliman ini,” tambahnya lagi.
Antara lain, Wright juga menyatakan kekecewaannya terhadap Presiden AS, Joe Biden yang terus menerus membenarkan kekerasan dan kezaliman ini berlaku secara konsisten.
“Kita tahu Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat akan berlangsung pada November tahun ini.
“Ramai dalam kalangan rakyat di AS tidak berpihak kepada polisi Biden terhadap isu di Gaza dan pastinya ini akan menyebabkan dia akan kehilangan lebih banyak undi dan saya juga tidak akan sesekali mengundi Biden.
“Saya tidak percaya bahawa dia terus bersekongkol dan membenarkan segala bentuk kejahatan terus menerus berlaku di Gaza dan pastinya Israel berdepan risiko lebih besar sekiranya Biden kalah dalam pemilihan akan disebabkan isu ini,” ujarnya.
Pada 14 Mac lalu, Biden, 81, dan saingannya, mantan presiden, Donald Trump masing-masing mendapat pencalonan mencukupi daripada perwakilan parti mereka untuk dipilih sebagai calon untuk Pilihan Raya Presiden AS 2024.
Ia sekali gus menyaksikan pertandingan ulangan untuk calon sama untuk Pilihan Raya Presiden, pertama dalam tempoh 70 tahun.
Biden memerlukan 1,968 undi perwakilan untuk memenangi pencalonan Parti Demokratik dan beliau melepasi jumlah itu pada 12 Mac lepas.