Francois Bayrou dilantik PM baharu Perancis

Agensi
Disember 13, 2024 06:30 MYT
Francois Bayrou (gambar) dilantik sebagai Perdana Menteri baharu Perancis menggantikan Michel Barnier yang disingkirkan dalam undi tidak percaya. - Gambar Reuters
PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang sedang berhadapan tekanan politik telah melantik sekutunya yang berhaluan tengah, Francois Bayrou, sebagai Perdana Menteri baharu bagi negara itu, seperti yang diumumkan pada Jumaat.
Langkah ini diambil dalam usaha untuk meredakan krisis politik yang semakin melemahkan pengaruhnya.
Pejabat Macron membuat pengumuman ini seminggu selepas penyandang jawatan itu, Michel Barnier disingkirkan dalam undi tidak percaya.
Bayrou yang pernah bertanding untuk jawatan Presiden sebanyak tiga kali sebelum menyokong Macron pada 2017 merupakan pengasas parti politik berhaluan tengah, Democratic Movement (MoDem).
Beliau juga merupakan Datuk Bandar Pau, sebuah bandar di barat daya Perancis.
Susulan pelantikanya itu, Bayrou perlu membentuk kerajaan dan berusaha meluluskan belanjawan dalam Parlimen yang terbahagi dengan ketara, berikutan Macron berdepan penentangan dari blok sayap kiri dan kanan.
“Semua orang sedar akan kesukaran tugas ini,” kata Bayrou kepada wartawan di sini pada hari Jumaat.
“Saya percaya ada jalan yang boleh menyatukan rakyat, bukan memecahbelahkan mereka.”
Kerajaan minoriti Barnier sebelum ini tumbang selepas hanya tiga bulan apabila beliau cuba meluluskan belanjawan 2025 yang merangkumi kenaikan cukai sebanyak 60 bilion euro (AS$62.9 bilion).
Usahanya untuk memaksa agenda itu dilaksanakan tanpa undian memberi peluang kepada Ahli Parlimen untuk menggulingkannya, dengan kuasa kiri dan kanan bersatu untuk menjatuhkannya.
Bayrou kini perlu mengambil alih cabaran itu, tetapi belum jelas sama ada tempohnya akan lebih berjaya daripada pendahulunya.
Beliau mesti meluluskan belanjawannya sendiri sebelum 21 Disember ini.
Jika tarikh akhir itu terlepas, kerajaan masih boleh melaksanakan "undang-undang kesinambungan fiskal" untuk mengelakkan penutupan dengan membenarkan kerajaan mengutip cukai dan membayar gaji, tetapi dengan perbelanjaan terhad pada tahap tahun 2024, menurut agensi penarafan kredit S&P Global Ratings.
Krisis politik Perancis tercetus apabila Macron menyeru pilihan raya Parlimen tergempar pada Julai lalu yang akhirnya menyebabkan Ahli Parlimen berhaluan tengah terperangkap di antara blok kiri dan kanan yang berkuasa.
Minggu lepas, Macron menentang desakan supaya meletakkan jawatan dan mendakwa, Parlimen seharusnya “melakukan apa yang dipilih untuk dilakukan” dan bertindak “demi perkhidmatan rakyat Perancis.” - Agensi
#Francois Bayrou #Perdana Menteri Perancis #Emmanuel Macron #krisis politik Perancis
;