Forum industri baharu China-ASEAN syorkan pembinaan sistem ekologi inovasi serantau
Bernama
Julai 5, 2023 06:30 MYT
Julai 5, 2023 06:30 MYT
SHENZHEN: Satu inisiatif kerjasama industri baharu yang turut dikenali sebagai Inisiatif Shenzhen telah dilancarkan semasa berlangsungnya Forum Industri Baharu China-ASEAN di Shenzen, pada Selasa.
Dengan objektif untuk memperkukuh pembinaan sistem ekologi inovasi serantau oleh China dan ASEAN, forum itu juga bertujuan membina hubungan rakan kongsi rantaian bekalan dan rantaian perindustrian yang lebih saksama, inklusif dan konstruktif, di samping meneroka kerjasama dalam industri baharu seperti ekonomi digital.
Inisiatif Shenzhen turut mengesyorkan pembentukan mekanisme dialog dan pertukaran di peringkat menteri dalam bidang industri antara China dan ASEAN.
Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China, Jin Zhuanglong, dalam ucaptamanya berkata China bersedia bekerjasama dengan negara-negara ASEAN untuk membincangkan pembangunan industri baharu.
Beliau turut menekankan peri pentingnya untuk memanfaatkan sepenuhnya mekanisme Mesyuarat Menteri Digital China-ASEAN, serta mempercepat penubuhan mekanisme dialog dan pertukaran di peringkat menteri dalam bidang industri antara China dan ASEAN.
Jin berpendapat bahawa kedua-dua pihak juga perlu mempromosikan pembangunan berkualiti tinggi dalam bidang utama, dengan fokus pada industri baharu seperti kenderaan tenaga baharu (NEV), ekonomi digital dan tenaga elektronik.
Selain itu, beliau berkata tumpuan juga perlu diberikan dalam usaha meneroka projek-projek besar yang melibatkan teknologi tinggi, pelaburan besar dan kekuatan pemacu industri.
Beliau juga menekankan tentang pentingnya meneroka model pembangunan bersama yang baharu, merealisasikan integrasi yang lebih mendalam bagi rantaian perindustrian, rantaian bekalan dan rantaian nilai, selain membina model pembangunan industri baharu dengan ciri-ciri tersendiri China dan ASEAN.
Forum Industri Baharu China-ASEAN bertemakan "Keterbukaan, Keinklusifan, Kerjasama dan Perkongsian demi Kerjasama Praktikal dalam Industri Baharu" itu dianjurkan bersama oleh Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China, kerajaan Provinsi Guangdong dan kerajaan bandar Shenzhen.
Disertai sekitar 300 wakil dari jabatan industri dan teknologi maklumat dari China dan negara-negara ASEAN, kedutaan dan konsulat negara luar di China, kumpulan pemikir, persatuan perdagangan, syarikat terkemuka dan organisasi antarabangsa yang berkaitan.
-- BERNAMA