Forum data dunia PBB membuka tirainya di Hangzhou
Bernama
April 25, 2023 22:08 MYT
April 25, 2023 22:08 MYT
BEIJING: Forum Data Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kali keempat yang bertemakan Towards Data that Empowers Our World membuka tirainya di bandar Hangzhou, provinsi Zhejiang China pada Isnin.
Presiden China, Xi Jinping, dalam perutusan tahniah yang disampaikan sempena perasmian forum itu, menyifatkan pembangunan mampan sebagai pilihan wajar untuk kemakmuran dan kemajuan masyarakat manusia, manakala pembangunan global yang kukuh, hijau dan sihat merupakan aspirasi bersama rakyat di serata dunia.
"China merupakan penyokong dan pelaksana Agenda PBB 2030 bagi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan berpegang kepada konsep pembangunan baharu yang inovatif, koordinasi, hijau, terbuka dan berkongsi.
"Selain itu, China sentiasa menaik taraf infrastruktur digital, menambah baik sistem asas data serta meningkatkan pembinaan kapasiti statistik dan secara aktif berkongsi pengalaman dalam memantau matlamat pembangunan mampan negara ini.
"China juga komited berusaha bersama dengan negara-negara lain untuk memperkasa kerjasama dalam bidang data antarabangsa, menyumbang kepada pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan 2030 melalui 'tadbir urus data', serta membentuk landskap kerjasama antarabangsa yang terbuka dan mewujudkan situasi sama menang dalam bidang data bagi menggalakkan pembangunan dan kemajuan bersama semua negara," katanya.
Forum Data Dunia PBB yang dijadual berlangsung selama empat hari bermula hari ini itu terdiri enam mesyuarat pleno dan 72 sesi selari atau serentak.
Lebih 1,000 wakil daripada lebih 100 negara dan wilayah akan menghadiri forum itu secara fizikal, manakala lebih 8,000 wakil lagi akan mengambil bahagian secara dalam talian.
Selain itu, kawasan pameran seluas 2,000 meter persegi yang merangkumi lima bahagian yang masing-masing bertema: Visi Global, Statistik Pintar China, Zhejiang Digital, Praktik Hangzhou, dan Industri Data turut disediakan sempena forum kali ini.
-- BERNAMA