Fitnah menteri: Mahkamah Singapura perintah adik bekas PM Singapura bayar S$400,000
Bernama
Mei 24, 2024 20:34 MYT
Mei 24, 2024 20:34 MYT
SINGAPURA: Lee Hsien Yang, adik kepada bekas perdana menteri Singapura, diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar S$200,000 (S$1=RM3.48) setiap seorang kepada menteri K. Shanmugam dan Dr Vivian Balakrishnan kerana memfitnah mereka mengenai penyewaan banglo kerajaan di Jalan Ridout, di sini.
Mahkamah juga mengarahkan Lee membayar S$51,000 sebagai kos kepada setiap menteri.
Lee adalah adik kepada bekas Perdana Menteri dan kini Menteri Kanan Lee Hsien Loong dan anak kepada Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew.
Menteri Undang-Undang dan Ehwal Dalam Negeri Shanmugam dan Menteri Luar Balakrishnan telah memfailkan saman fitnah berasingan terhadap Lee di Mahkamah Tinggi pada 2 Ogos 2023, tetapi kemudian diperintahkan untuk dibicarakan bersama.
Saman fitnah itu dibuat selepas Lee pada 23 Julai 2023, memuat naik di laman Facebooknya, mendakwa menteri-menteri berkenaan telah bertindak secara rasuah dengan meminta Pihak Berkuasa Tanah Singapura memberikan layanan istimewa kepada mereka.
Hakim Goh Yihan dalam penghakiman bertulis yang dikeluarkan hari ini, berkata penuntut dalam kes itu adalah Menteri Kabinet dan Ahli Parlimen yang telah lama berkhidmat, pemimpin awam dan individu yang mempunyai integriti tinggi yang tidak diragukan lagi mempunyai kedudukan yang tinggi.
Sementara itu, Goh berkata defendan menggambarkan dirinya sebagai seorang tokoh masyarakat, dikenali di Singapura dan aktif di media sosial.
Dalam membuat penghakiman dan pemberian ganti rugi, Goh berkata beliau mendapati tuduhan fitnah defendan, yang menjurus kepada integriti peribadi penuntut, reputasi profesional, kehormatan dan sifat teras personaliti penuntut, adalah jenis yang "paling berat".
Kata-kata fitnah itu telah diterbitkan dan diterbitkan semula secara meluas di Singapura, katanya.
Beliau berkata defendan tidak memohon maaf atau memadam hantaran di Facebook itu walaupun diberi peluang untuk berbuat demikian. Sebaliknya, defendan menuduh pihak yang menuntut membuat tuntutan palsu dan menuntut permohonan maaf palsu.
Hakim itu berkata, beliau juga mendapati defendan bertindak dengan niat jahat dalam menyiarkan kata-kata yang menyinggung perasaan itu.
"Berdasarkan keterangan di hadapan saya, saya dapati defendan mengetahui bahawa Perkataan Menyinggung itu adalah palsu, dia menerbitkannya secara melulu, dan atau tanpa mempertimbangkan atau peduli sama ada ia benar atau tidak," katanya.
"Oleh itu, ini mewajarkan pemberian bukan sahaja ganti rugi yang lebih tinggi tetapi juga ganti rugi teruk," tambah Goh.
-- BERNAMA