Firma telekomunikasi AS didenda US$1 juta atas panggilan kempen AI Biden palsu

Bernama
Ogos 23, 2024 08:40 MYT
Suara Biden dalam panggilan itu dijana menggunakan perisian AI dan maklumat pengirim juga dipalsukan, menjadikannya seolah-olah datang daripada jawatankuasa politik Demokrat. - Gambar fail
WASHINGTON: Sebuah syarikat telekomunikasi Amerika Syarikat (AS) didenda US$1 juta kerana menghantar panggilan kempen palsu yang memaparkan suara palsu Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menurut Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) pada Rabu, Lingo Telecom bersetuju membayar denda dan juga komited kepada program unik untuk mengesahkan kebolehpercayaan pelanggan yang menggunakan rangkaiannya untuk menghantar data.
Panggilan palsu itu dengan suara menyerupai Biden, digunakan untuk memanggil pengundi di New Hampshire AS pada Januari, dan menggesa mereka untuk tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya utama Parti Demokrat.
Suara Biden dalam panggilan itu dijana menggunakan perisian AI dan maklumat pengirim juga dipalsukan, menjadikannya seolah-olah datang daripada jawatankuasa politik Demokrat.
"Setiap daripada kita berhak untuk mengetahui bahawa suara di talian adalah tepat seperti yang mereka dakwa," kata Pengerusi FCC, Jessica Rosenworcel.
"Jika AI digunakan, itu harus dinyatakan dengan jelas kepada setiap pengguna, warganegara, dan pengundi yang mendapat panggilan itu," tambahnya.
Pada Mei, FCC mencadangkan denda US$6 juta terhadap pengasas panggilan tersebut, seorang perunding politik.
Insiden itu menimbulkan kebimbangan di AS mengenai kemungkinan penyalahgunaan AI, terutama menjelang pilihan raya presiden pada November.
Akibatnya, FCC mengukuhkan rangka kerja undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap pemalsuan AI sedemikian.
-- BERNAMA
#Lingo Telecom #suara palsu Joe Biden #syarikat telekomunikasi AS didenda #kecerdasan buatan
;