Firma Jepun penuhi peningkatan permintaan pembakaran jasad haiwan peliharaan

Bernama
September 9, 2024 08:15 MYT
Sumpah-sumpah milik Naomi yang telah dibakar oleh Progress Co selepas kematian haiwan itu. - Foto BERNAMA
TSUKUBA: Sebuah syarikat di Jepun telah membangunkan teknologi yang mampu mengendalikan pembakaran bangkai haiwan terkecil, seperti ikan hiasan untuk menjadikan abu haiwan peliharaan itu sebagai kenang-kenangan.
Progress Co., sebuah syarikat yang berpangkalan di Osaka telah mencipta kaedah untuk melaraskan keamatan nyalaan api dan kekuatan jet udara untuk meninggalkan abu dalam keadaan optimum, dengan beberapa tulang yang tinggal, lapor Agensi Berita Kyodo.
Di Jepun, upacara pembakaran mayat untuk orang ramai biasanya melibatkan pengumpulan serpihan tulang yang tinggal untuk disimpan bersama abu, dan terdapat permintaan yang semakin meningkat untuk amalan serupa dalam pembakaran bangkai haiwan peliharaan.
Pemilik haiwan peliharaan mesti meminta kerajaan tempatan atau syarikat khusus untuk mengendalikan pembakaran bangkai haiwan mereka, kerana undang-undang melarang individu membakar bangkai haiwan peliharaan mereka sendiri.
Secara keseluruhan, terdapat kira-kira 2,000 syarikat dalam perniagaan pengebumian haiwan peliharaan, menjadikannya pasaran yang sangat kompetitif, menurut firma penyelidikan Fuji Keizai Co.
Progress, yang turut menawarkan perkhidmatan mengasingkan barang-barang orang selepas mereka mati, memulakan perniagaan pembakaran bangkai haiwan kesayangan pada 2020 dan kini menerima kira-kira 2,000 permintaan setiap bulan, menyediakan perkhidmatan itu kepada pelbagai haiwan peliharaan termasuk spesies jarang ditemukan seperti belut taman berbintik dan axolotl.
"Haiwan peliharaan saya sangat kecil tetapi mereka mengendalikannya dengan penuh berhati-hati dan saya sangat bersyukur," kata Naomi Uchikawa, seorang wanita berusia 45 tahun yang menggunakan perkhidmatan itu untuk sumpah-sumpahnya.
Yuko Moriyama, Wakil Pengarah Progress berkata:"Pengebumian haiwan peliharaan adalah peluang untuk mengenali nilai kehidupan. Kami berhasrat untuk menyediakan persekitaran di mana setiap haiwan peliharaan boleh menerima perpisahan yang sewajarnya."
--BERNAMA-KYODO
#haiwan peliharaan #pembakaran bangkai #teknologi #Progress Co
;