Finland umum sambung pembiayaan untuk UNRWA
Bernama
Mac 23, 2024 08:15 MYT
Mac 23, 2024 08:15 MYT
LONDON: Finland akan menarik balik pembekuan pemberian bantuan kepada Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), lapor Agensi Anadolu yang memetik pengumuman Menteri Perdagangan Asing dan Pembangunan Finland pada Jumaat.
"UNRWA menambah baik pengurusan risikonya, iaitu memulakan pemantauan rapi terhadap salah laku, menyediakan jaminan mencukupi untuk kami pada titik ini untuk meneruskan sokongan kami," kata Menteri Perdagangan Asing dan Pembangunan Ville Tavio pada satu sidang media di Helsinki.
Keputusan Finland itu adalah selepas Suruhanjaya Eropah mengumumkan pada awal bulan ini bahawa ia akan menyumbang EUR50 juta (hampir US$54.7 juta) untuk pembiayaan UNRWA.
Sejurus selepas suruhanjaya itu mengumumkan keputusannya, Sweden dan Kanada menyambung semula pemberian bantuan atas alasan keadaan kemanusiaan di Gaza.
Terdahulu Menteri Luar Norway Espen Barth Eide menggesa dunia supaya bersama-sama menyokong agensi itu dan berkata "Ini adalah masa yang salah untuk menghentikan pembiayaan untuk UNRWA."
"Jika keputusan ini (menghentikan bantuan) diteruskan, kita menghadapi risiko serius krisis kemanusian yang menjadi semakin teruk di Gaza," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar.
UNRWA ditubuhkan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu lebih daripada 70 tahun dahulu bagi membantu warga Palestin yang diusir dari tanah mereka sendiri.
Agensi itu memberikan sokongan penting kepada jutaan pelarian Palestin di Semenanjung Gaza, Tebing Barat, Jordan, Lubnan, Syria dan kawasan-kawasan lain yang diduduki sejumlah besar rakyat Palestin.
-- BERNAMA