Finland mungkin buat permohonan sertai NATO minggu depan - Menteri Luar
Bernama
Mei 13, 2022 16:53 MYT
Mei 13, 2022 16:53 MYT
TOKYO: Finland mungkin memohon untuk menyertai NATO "pertengahan minggu depan," kata Menteri Luar Pekka Haavisto, menurut Sputnik.
"Jika mendapat kelulusan Parlimen, kami akan melakukannya pada pertengahan minggu depan. Sweden juga sedang mempertimbangkan tempoh yang sama," kata menteri itu seperti dipetik NHK.
Menteri itu menegaskan bahawa Finland mahu mengekalkan keamanan di sempadan dengan Rusia tetapi harus bersedia untuk hadapi sebarang perkembangan.
Beliau berpendapat, tempoh peralihan sebelum menyertai pakatan itu benar-benar berbahaya.
Bagaimanapun, menteri berkenaan menyuarakan harapan bahawa sokongan dan bantuan daripada UK dan negara Eropah lain akan membantu Finland menghindari sebarang kesukaran dalam tempoh itu.
Finland dan Sweden masing-masing memutuskan untuk memohon keahlian NATO berikutan keputusan Rusia melancarkan operasi ketenteraan di Ukraine.
--BERNAMA