Filipina tutup 175 syarikat judi pesisir, hantar pulang 40,000 pekerja China

Agensi
September 27, 2022 15:39 MYT
Pengendali pusat judi luar pesisir Filipina atau dikenali sebagai POGO menawarkan pekerjaan kepada lebih 300,000 pekerja China. - Gambar hiasan/REUTERS
MANILA: Pegawai Kementerian Kehakiman Filipina memaklumkan negara itu akan menghentikan operasi 175 syarikat perjudian luar pesisir dan bakal menghantar pulang kira-kira 40,000 pekerja dari China.
Sektor ini mula wujud di Filipina pada 2016 dan berkembang pesat apabila pengendali menggunakan undang-undang perjudian yang lebih liberal negara itu dengan menyasarkan pelanggan di China, dimana perjudian diharamkan di negara itu.
Memetik laporan Reuters, pengendali perjudian luar pesisir Filipina atau dikenali sebagai POGO sebelum ini menawarkan pekerjaan kepada lebih 300,000 pekerja China namun disebabkan wabak COVID-19 dan cukai lebih tinggi telah memaksa ramai untuk beroperasi di tempat lain.
"Tindakan itu tercetus susulan laporan pembunuhan, penculikan dan jenayah lain yang dilakukan warga China terhadap warga China yang lain," kata jurucakap Kementerian Kehakiman, Jolse Dominic Clavano.
Tambah beliau, POGO menyasarkan premis yang memiliki lesen, sama ada yang sudah tamat tempoh atau dibatalkan kerana pelanggaran undang-undang seperti tidak membayar yuran kerajaan dan pengusiran pekerja China bermula bulan depan.
Kementerian Kewangan Filipina memaklumkan, kerajaan menjana lebih 7.2 bilion peso (AS$122.21 juta) pada 2020 dan 3.9 bilion peso pada tahun lalu, hanya melalui yuran POGO sahaja.
Kedutaan China di Manila, dalam satu kenyataan, berkata Beijing menyokong pengusiran dan tindakan keras terhadap jenayah berkaitan POGO dan ia 'menentang keras dan mengambil langkah tegas untuk memerangi perjudian'.
Berdasarkan data Leechiu, sektor itu menggaji 201,000 warga China dan 111,000 warga tempatan, selain turut menganggarkan POGO menyumbang 190 bilion peso (AS$3.22 bilion) kepada ekonomi setiap tahun, jumlah yang besar kepada sektor hartanah dan runcit. - Agensi
#China #Filipina #POGO #Jolse Dominic Clavano #perjudian
;