Filipina tingkat tahap amaran susulan letusan gunung berapi Bulusan

Astro Awani
Jun 6, 2022 00:45 MYT
Abu dan wap panas menjulang ke langit susulan letusan Gunung Bulusan, di Filipina pada Ahad, 5 Jun 2022. -Foto AP
MANILA: Sebuah gunung berapi di Filipina memuntahkan asap tebal dan abu setinggi satu kilometer ke udara, pada Ahad.
Perkembangan ini mendorong pihak berkuasa meningkatkan amaran di Gunung Bulusan dan mengingatkan penduduk supaya tidak memasuki zon bahaya.
Institusi Vulkanologi dan Seismologi Filipina menaikkan amarannya di Bulusan kepada Tahap 1 daripada lima peringkat.
Amaran peringkat satu bermaksud ia berada dalam keadaan tidak normal.
Institusi tersebut turut merekodkan 77 gegaran daripada gunung berapi itu dalam 24 jam sebelum letusan berlaku.
Ketua institut, Renato Solidum menyifatkan letusan Gunung Bulusan dipacu oleh wap yang merupakan perkara biasa kepada gunung berapi berkenaan.
Langkah berjaga-jaga diambil termasuk larangan masuk ke zon bahaya sekitar radius 4 kilometer untuk melindungi daripada hujan abu, dan nasihat pemakaian pelitup muka serta arahan tinggal di rumah.
Video tular di media sosial menunjukkan abu tebal membentuk awan besar yang mengubah suasana langit di sekeliling gunung berapi berkenaan.

LOOK: A netizen captured the reported phreatic eruption at Mount Bulusan in Sorsogon on Sunday, June 5. Photos by Ruben Basilio/Facebook pic.twitter.com/CrbNPIiJvH

— Rappler (@rapplerdotcom) June 5, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Bulusan, antara 24 gunung berapi aktif di Filipina, kali terakhir meletus pada Jun 2017.
#gunung berapi #amaran #Gunung Bulusan #gempa bumi