Filipina tidak benarkan AS simpan stok senjata di pangkalan tentera bersama untuk operasi di Taiwan

Bernama
April 19, 2023 07:50 MYT
Gambar bertarikh 13 April 2023 menunjukkan anggota tentera Amerika Syarikat menjalani Latihan pertahanan Balikatan di Fort Magsaysay, wilayah Nueva Ecija, Filipina. - Gambar REUTERS
ISTANBUL: Filipina pada Rabu berkata, ia tidak akan membenarkan Amerika Syarikat (AS) menyimpan senjata di pangkalan tentera bersama di negara Asia Tenggara itu untuk digunakan dalam operasi di Taiwan, lapor Agensi Anadolu.
Enrique Manalo, ketua hal ehwal luar Filipina, memberitahu sidang Senat bahawa "Filipina tidak akan membenarkan AS menyimpan stok senjata untuk digunakan dalam operasi di Taiwan di tapak yang boleh diakses oleh tentera Amerika di bawah perjanjian pertahanan 2014 antara Manila dan Washington," harian Phil Star melaporkan.
Beliau mengulas demikian berikutan Manila telah meluluskan empat lagi pangkalan tentera untuk kegunaan bersama dengan Washington di bawah Perjanjian Kerjasama Pertahanan Dipertingkat (EDCA), yang ditandatangani pada 2014.
Manalo berkata, sama ada Manila akan membenarkan AS menyimpan senjata di tapak terpilih di negara itu akan didorong oleh tujuan utama perjanjian pertahanan.
Beliau menjawab pertanyaan pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Senat Filipina, Imee Marcos yang menunjukkan kemungkinan "senjata AS disimpan di tapak EDCA di Filipina" sambil merujuk kepada Akta Keizinan Pertahanan Nasional AS 2023 " yang membenarkan penyediaan penyimpanan untuk kontingensi di Taiwan."
"Kita tidak akan bersetuju dengan apa-apa jenis aktiviti ataupun material yang tidak konsisten dengan aktiviti yang dipersetujui ini," kata Manalo.
Senator Marcos ialah kakak kepada Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr.
Manalo berkata, EDCA tidak disasarkan kepada mana-mana negara ketiga.
Pegawai bertanggungjawab Jabatan Pertahanan Negara Filipina Carlito Galvez Jr., Marcos pula bertanya mengapa pemodenan angkatan tentera tidak dilaksanakan dan bergantung kepada orang asing untuk mempertahankan negara daripada ancaman luar.
Awal bulan ini, Manila mengumumkan empat pangkalan tentera baharu untuk kegunaan bersama AS di bawah EDCA, sekali gus menimbulkan kemarahan China yang memberi amaran tentang "lebih banyak ketegangan" di rantau ini dan menggesa negara jiran "membuat pilihan" yang menguntungkan "kepentingan mereka sendiri dan kestabilan serantau."
Pada masa ini, Manila dan Washington bersama-sama mengendalikan lima pangkalan di bawah EDCA, yang membenarkan penempatan tentera Amerika di pelbagai bahagian di Filipina.
Pada Januari, Filipina bersetuju membenarkan akses tentera AS ke empat lagi pangkalan tentera di negara itu, menjadikan sembilan pangkalan.
EDCA, perjanjian ketenteraan yang ditandatangani antara Manila dan Washington semasa pemerintahan bekas Presiden Filipina Corazon Aquino, membolehkan peningkatan kehadiran bergilir-gilir tentera, pesawat dan kapal AS di pangkalan tentera Filipina, serta pembinaan kemudahan untuk menyimpan bahan api dan peralatan. Ia bagaimanapun bukan kehadiran kekal.
Manila adalah sekutu tertua Washington di rantau ini dan juga merupakan penerima terbesar bantuan, peralatan dan latihan ketenteraan AS.
Minggu lalu, semasa pertemuan 2+2 dengan rakan sejawat Filipina, Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin berkata kedua-dua pihak menegaskan semula bahawa Perjanjian Pertahanan Bersama 1951 antara mereka tetap menjadi asas kerjasama mereka.
- BERNAMA-ANADOLU
#Filipina #tidak benarkan #simpan senjata AS #EDCA
;