Filipina tidak akan mampu melawan China - Presiden Duterte

Agensi
Mei 20, 2018 20:58 MYT
Duterte mengambil penyelesaian yang tidak melibatkan provokasi. - Gambar fail
Presiden Filipina Rodrigo Duterte sekali lagi menegaskan bahawa dia tidak akan membuat sebarang provokasi dengan China, susulan laporan mengenai tentera China yang mendaratkan pesawat pengebom jarak jauh di lapangan terbang di Laut China Selatan.
“Anda pun tahu mereka mempunyai pesawat, bukan yang diletakkan di Kepulauan Spratly tetapi berdekatan dengan wilayah yang mengadap Spratly dan Laut China.
“Dengan teknologi hipersonik, mereka boleh sampai ke Manila dalam masa 10 minit,” ujar Duterte dalam ucapan umum pada Sabtu di Cebu, lapor media tempatan.
BACA: China buat latihan mendarat dan berlepas pesawat pengebom di Laut China Selatan
Duterte berdepan kritikan kerana dikatakan hanya berdiam diri meskipun China meningkatkan aktiviti ketenteraan di Laut China Selatan.
Beliau menyatakan kebimbangan, sekiranya peperangan berlaku di rantau ini, Filipina tidak berupaya langsung untuk bertahan.
“Kalau terjadi peperangan, kita hendak melawan dengan apa? Adakah kita hanya mahu tampar-menampar muka sahaja?
“Saya sendiri tidak mampu membeli raifal. Ia diberikan kepada saya. Jadi macam mana kita hendak melawan China?” ujarnya.
Tambah Duterte, tiada jaminan Amerika Syarikat akan menyebelahi Filipina jika peperangan berlaku. Baginya, penyelesaian yang lebih baik adalah dengan menyertai pasukan eksplorasi dengan China untuk meningkatkan potensi di wilayah marin yang terlibat.
Senator Panfilo Lacson pada Sabtu mendesak pemerintah Filipina agar bertindak terhadap peningjkatan aktiviti ketenteraan China di wilayah marin di rantau ini.
Menurutnya, Filipina boleh meminta bantuan negara-negara sekutunya untuk menghentikan langkah China tersebut. Filipina juga boleh menggunakan penghakiman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang pernah menyebelahi negara itu pada Julai 2016.
#aktiviti tentera #Cebu #China #Laut China Selatan #militari #pesawat pengebom #presiden filipina #Rodrigo Duterte
;