Filipina tawar jadi Pengerusi ASEAN 2026

Bernama
September 5, 2023 21:18 MYT
Presiden Ferdinand R Marcos Jr berkata demikian dalam satu pengumuman mengejut ketika pleno Sidang Kemuncak ASEAN di Jakarta. - Gambar fail
JAKARTA: Filipina pada Selasa menawarkan diri untuk menjadi pengerusi kumpulan ASEAN negara-negara Asia Tenggara dari Myanmar pada 2026, lapor agensi berita Jerman dpa.
"Sukacita saya mengumumkan bahawa Filipina bersedia untuk menerajui dan mempengerusikan ASEAN pada 2026," kata Presiden Ferdinand R Marcos Jr dalam satu pengumuman mengejut ketika pleno sidang kemuncak ASEAN di Jakarta.
Myanmar telah dilanda huru-hara dan keganasan sejak rampasan kuasa pada 2021.
Marcos menambah bahawa Filipina merancang untuk "menavigasi ASEAN ketika ia memulakan lembaran baharu."
Beliau tidak menyatakan sama ada Myanmar secara khusus meminta langkah itu. Krisis di Myanmar telah menjadi topik perbincangan utama dalam sidang kemuncak tahunan ASEAN di ibu negara Indonesia.
Diplomat di Jakarta menjelaskan bahawa rancangan mesyuarat antarabangsa di Myanmar akan menjadi masalah, memandangkan krisis semasa.
Wakil kanan junta yang memerintah Myanmar tidak dijemput ke sidang kemuncak Jakarta.
--BERNAMA-dpa
#Filipina #Ferdinand Marcos Jr #Pengerusi ASEAN #Sidang Kemuncak ASEAN
;