Filipina tangguh sedut minyak dari kapal tangki yang tenggelam
Bernama
Ogos 1, 2024 04:00 MYT
Ogos 1, 2024 04:00 MYT
MANILA: Pengawal Pantai Filipina (PCG) pada Khamis berkata penyedutan bawah air 1.4 juta liter minyak bahan api industri (IFO) dari kapal tangki yang tenggelam di luar pantai wilayah Bataan, barat Manila, akan ditangguhkan selama dua minggu lagi.
Komandan PCG Laksamana Ronnie Gil Gavan berkata penyelam sedang mengukuhkan pengedap injap dan paip untuk memastikan minyak tidak bocor semasa operasi itu, lapor Xinhua.
"Penyedutan mesti dilakukan dengan cara yang paling selamat," kata Gavan, sambil menambah bahawa penyelam akan menggantikan pengedap yang diperbuat daripada beg penutup kanvas khas dengan pengedap logam untuk mengelakkan risiko yang tidak diingini.
Gavan berkata penyedutan akan ditunda sekurang-kurangnya dua minggu.
"Langkah ketelitian ini akan memberi kami kawalan yang lebih baik untuk mengurangkan kepada minimum kemungkinan tumpahan minyak yang mengakibatkan kerosakan semasa aktiviti penyedutan," tambahnya.
Kapal itu yang dikenali sebagai MTKR Terranova, terbalik dan akhirnya tenggelam pada 25 Julai di luar pantai wilayah Bataan.
Kemalangan laut itu menyebabkan sedikit kebocoran minyak di kawasan di mana ia tenggelam, kata PCG.
Semasa tinjauan udara yang dilakukan pada pagi Selasa, PCG berkata pihaknya memerhatikan "kilatan minyak yang sangat sedikit hingga tidak kelihatan" di lokasi kemalangan, pantai Manila dan wilayah berdekatan seperti Bulacan, Pampanga, Bataan dan Cavite.
Ketua Stesen Pengawal Pantai Bataan, Leftenan Komander Michael John Encina berkata rancangan adalah untuk menyedut 300,000 liter IFO dari kapal tangki yang tenggelam, cukup untuk menjadikan kapal itu terapung.
Kemudian, kapal itu akan ditarik ke perairan yang lebih cetek dan pekerja boleh memindahkan baki IFO ke kapal lain.
Selain MTKR Terranova, Encina berkata penyelam akan mula menyedut 5,500 liter minyak dari satu lagi kapal tangki, MTKR Bradley, yang tenggelam di luar pantai wilayah Bataan minggu lepas.
PCG juga sedang membersihkan minyak dari kapal lain, MV Mirola 1, yang terkandas pada Rabu di luar pantai wilayah Bataan akibat cuaca buruk.
-- BERNAMA