AS, Filipina sahkan hubungan ketenteraan ekoran peningkatan kuasa China

Bernama
April 12, 2023 12:12 MYT
AS dan Filipina pada Selasa mengesahkan semula pakatan ketenteraan kedua-dua negara ketika kuasa China semakin meningkat di rantau itu. -Reuters
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Filipina pada Selasa mengesahkan semula pakatan ketenteraan kedua-dua negara ketika kuasa China semakin meningkat di rantau itu.
Setiausaha Negara AS Antony Blinken dan Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin pada Selasa membuat kenyataan itu ketika kedua-dua negara menjalani latihan bersama ketenteraan terbesar antara kedua-dua negara, lapor United Press International (UPI).
Semasa Dialog Menteri 2+2, Blinken, Austin dan rakan sejawatan mereka di Filipina menyentuh tentang potensi ancaman ketenteraan yang ditimbulkan oleh China di rantau ini.
"Setiausaha Negara Austin dan saya juga menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi Amerika Syarikat untuk bersama Filipina terhadap sebarang ugutan atau paksaan, termasuk (di) Laut China Selatan.
"Pakatan keselamatan kita adalah sumber kekuatan yang kekal untuk kedua-dua negara.
"Hari ini kami memberi tumpuan kepada cara untuk meneruskan perkongsian rapat kami di bawah perjanjian kerjasama yang dipertingkat supaya pasukan kami boleh bekerjasama dengan lebih rapat lagi," kata Blinken pada sidang media.
Tentera Amerika dan Filipina pada Selasa memulakan latihan ketenteraan bersama membabitkan gabungan 17,600 anggota tentera dalam latihan tahunan yang dikenali sebagai Balikata berdasarkan Perjanjian Kerjasama Pertahanan Dipertingkat.
Awal bulan ini, Jabatan Pertahanan mengumumkan pembiayaan untuk membina empat kemudahan tentera baharu di Filipina selain peruntukan menambah baik kemudahan sedia ada.
-- BERNAMA
#Filipina #Amerika Syarikat #pakatan ketenteraan #peningkatan kuasa China
;