Filipina Memilih: 9 cedera akibat letupan bom tangan di pusat mengundi

Agensi
Mei 9, 2022 17:01 MYT
Lima bom tangan meletup di luar pusat mengundi di selatan Filipina beberapa jam sebelum waktu mengundi bermula. Foto - REUTERS
SEMBILAN orang cedera selepas lima bom tangan meletup di luar pusat mengundi di selatan Filipina beberapa jam sebelum waktu mengundi bermula.
Serangan berlaku pada lewat Ahad di perbandaran Datu Unsay di pulau Mindanao, yang terkenal sebagai tempat perlindungan buat kumpulan-kumpulan bersenjata, termasuk puak pemberontak komunis dan kumpulan militan ekstremis Islam.
Beberapa minit kemudian, satu lagi letupan bom tangan dilaporkan di perbandaran Shariff Aguak, namun tidak menyebabkan sebarang kecederaan.
Kedua-dua serangan berlaku di wilayah Maguindanao.
Menurut polis, mangsa-mangsa serangan berjalan dari kampung mereka untuk membuang undi di sebuah dewan perbandaran apabila pusat mengundi buka pada jam 6 pagi Isnin waktu tempatan.
“Ia merupakan tradisi untuk penduduk kampung memulakan perjalanan awal dengan berjalan kaki dari perkampungan mereka yang mengambil masa lapan hingga 12 jam,” kata jurucakap polis Mejar Roldan Kuntong.
Seorang jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya berkata, pihaknya masih cuba mengesahkan sama ada letupan bom tangan pada Ahad berkaitan dengan pilihan raya.
#Filipina #pilihan raya #letupan #bom tangan
;