Filipina mahu ASEAN catat jumlah kanak-kanak tanpa kerakyatan
Dania Zainuddin
Mei 26, 2016 11:29 MYT
Mei 26, 2016 11:29 MYT
Filipina menggesa negara-negara anggota ASEAN untuk mencatatkan jumlah kanak-kanak tanpa kerakyatan dan tidak mempunyai akses kepada pendidikan di negara masing-masing.
Setiausaha Jabatan Pendidikan Filipina, Armin Luistro berkata, langkah ini perlu dalam mengenalpasti dan membangunkan program khusus untuk menangani isu ini.
Katanya, setiap negara anggota ASEAN perlu mengambil tanggungjawab bersama sebagai satu komuniti dan perlu berfikiran secara tanpa sempadan terutamanya berkaitan bidang pendidikan.
“Cabaran utama dalam hal ini adalah kesukaran untuk mendapatkan jumlah kanak-kanak tanpa kerakyatan secara rasmi. Mereka mungkin tidak memiliki nama, dan bagi kami, ini adalah perkara yang perlu diketengahkan.
“ASEAN sebagai satu komuniti perlu mengira jumlah mereka kerana sukar untuk mewujudkan program tanpa mengetahui jumlah itu,” kata Luistro pada Mesyuarat Peringkat Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN ke-9 di Petaling Jaya pada Rabu.
Jelasnya, kanak-kanak tanpa kerakyatan, tanpa akses kepada pendidikan biasanya berada di kawasan sempadan dan zon konflik.
“Ini adalah fenomena baru, terutamanya dengan isu pelarian yang semakin tinggi di ASEAN. Komuniti pelarian di rantau ini adalah banyak, dan ia menyukarkan pelbagai pihak untuk mengetaui jumlah mereka,” kata Luistro.
Selain itu, katanya usaha ini juga memerlukan bantuan daripada UNESCO dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain.
Setakat ini, lebih sejuta kanak-kanak dipercayai berada di rantau ASEAN yang tidak memiliki mana-mana kewarganegaraan dan tidak mempunyai akses kepada pendidikan.
Luistro berharap Filipina bersama negara anggota ASEAN lain dapat mencapai persetujuan dalam memperkenal program-program yang boleh dilaksanakan di 10 negara anggota untuk menjadi satu komuniti, menerusi mesyuarat kali ini.