Filipina lapor 'konfrontasi' dengan kapal China di Laut China Selatan
Agensi
April 28, 2023 16:57 MYT
April 28, 2023 16:57 MYT
MANILA: Pasukan Pengawal Pantai Filipina pada Jumaat mendakwa berdepan insiden 'konfrontasi' dengan kapal-kapal China yang didakwa membuat 'pengemudian yang membahayakan' di Laut China Selatan.
Reuters melaporkan, perkembangan terbaru itu merupakan satu bentuk ketegangan maritim terkini antara dua negara berkenaan.
Kejadian itu berlaku sewaktu pasukan pengawal pantai berkenaan menjalankan pemantauan selama seminggu di laluan perairan strategik, dan kebetulan ketika Menteri Luar China Qin Gang melakukan lawatan ke Manila minggu lalu untuk bertemu rakan sejawatan Filipina dan juga Presiden Ferdinand Marcos Jr.
China mendakwa sebahagian besar Laut China Selatan, yang menjadi laluan kira-kira AS$3 trilion barangan perdagangan, adalah kawasan miliknya. Filipina pula sudah berulang kali mengingatkan Beijing supaya menghentikan aktiviti agresifnya di wilayah maritim itu.
Pasukan Pengawal Pantai Filipina berkata, antara 18 hingga 24 April lalu, lebih 100 kapal yang dipercayai milik China, bersama sebuah kapal perang kecil milik angkatan laut China dan dua kapal Pengawal Pantai China berada dalam zon ekonomi eksklusif Filipina.
Tambah laporan itu, Filipina mendakwa salah sebuah kapal China itu melakukan pengemudian yang berbahaya dalam jarak 46 meter dari kapal Filipina, sementara dua kapal lagi menunjukkan taktik agresif, sekali gus memberi ancaman kepada keselamatan kapal Filipina dan anak-anak kapalnya.
Kedutaan China di Manila tidak memberi sebarang maklum balas ketika diminta mengulas mengenai insiden itu.
Pada Februari lalu, pengawal pantai Filipina mendakwa kapal milik China telah memancarkan laser gred militari kepada salah sebuah kapalnya sehingga membuatkan kru mengalami komplikasi penglihatan sementara.