Filipina kenakan semula perintah berkurung dua minggu
Agensi
Ogos 3, 2020 22:51 MYT
Ogos 3, 2020 22:51 MYT
Presiden Rodrigo Duterte pada Isnin melaksanakan semula perintah berkurung di ibu kota Filipina dan beberapa wilayah lain di negara itu susulan peningkatan kes COVID-19 yang mendadak.
Menurut jurucakapnya, Harry Roque, bandar Manila dan kawasan sekelilingnya yang mempunyai populasi penduduk sehingga 12 juta orang akan diwajibkan supaya kekal berada di rumah selama dua minggu berkuatkuasa pada Selasa.
Langkah itu yang ditentang oleh pegawai kewangan dan ekonomi sekali lagi akan melarang perjalanan yang tidak penting di luar rumah.
Pelaksanaan itu berikutan daripada gesaan 100 persatuan perubatan yang mewakili 80,000 doktor dan sejuta jururawat yang berharap pemerintah mengenakan kawalan yang lebih ketat.
Mereka meminta Duterte untuk mengenakan semula penutupan ketat di ibu kota bagi membolehkan pekerja kesihatan mempunyai "masa rehat" dan membiarkan pemerintah menilai semula tanggapannya terhadap wabak tersebut.
Jumlah kes COVID-19 di Filipina melonjak melebihi 103,000 kes pada Ahad dan kedua terbanyak di Asia Tenggara.