Filipina isytihar darurat selepas wabak campak semakin serius
Agensi
Februari 7, 2019 19:46 MYT
Februari 7, 2019 19:46 MYT
Pihak berkuasa Filipina mengisytiharkan darurat di beberapa buah daerah termasuk Manila ekoran wabak campak yang semakin serius.
Wabak campak merupakan sejenis penyakit berjangkit yang disebarkan oleh virus berbahaya terutamanya apabila berjangkit kepada bayi dan kanak-kanak.
Sehingga 26 Januari, Biro Kesihatan Epidemiologi merekodkan sebanyak 1,813 kes dan 26 kematian sekali gus menyebabkan peningkatan wabak itu sebanyak 74 peratus berbanding 2018.
Sebagai rekod, terdapat 2.4 juta kanak-kanak di Filipina yang belum divaksin.
Rata-rata ibu bapa di negara itu enggan anak-anak mereka divaksin di pusat kesihatan kerajaan selepas terjadinya komplikasi berkaitan dengan vaksin denggi, Dengvaxia.
Sementara itu, Dr. Gundo Weiler dari Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) yang mewakili Filipina berkata, kadar penyuntikan vaksin di negara itu menunjukkan penurunan di bawah sasaran 95 peratus.
Pada tahun 2016, kadar suntikan vaksin adalah sekitar 75 peratus, namun terus mencatatkan penurunan kepada 60 peratus dan terus merudum pada tahun 2018.
Wabak campak merupakan penyakit berjangkit yang mudah tersebar melalui batuk dan selesema.
Antara simptom-simptom utama termasuk demam, batuk, hidung berair dan radang mata sebelum kemunculan bintik-bintik merah pada muka dan badan beberapa hari selepas itu.