Filipina fail kes terhadap China berhubung tuntutan Laut China Selatan
Astro Awani
Mac 31, 2014 16:53 MYT
Mac 31, 2014 16:53 MYT
Filipina memfailkan kes mencabar tuntutan China terhadap sebahagian wilayah di Laut China Selatan pada Ahad, sehari selepas kapal kedua-dua negara itu terlibat dalam konfrontasi di perairan tersebut, sekaligus mengetepikan amaran Beijing tindakan berkenaan akan mencalar hubungan dua negara.
Setiausaha Luar Filipina, Albert del Rosario berkata, pihaknya menyerahkan secara elektronik hampir 4,000 halaman dokumen yang mengandungi analisis dan bukti-bukti tuntutan Filipina itu kepada Tribunal Antarabangsa Undang-Undang Laut.
"Ini adalah tentang mempertahankan apa yang secara sahnya milik kami. Ini adalah tentang menentukan masa depan anak cucu. Ini adalah tentang memastikan kebebasan pergerakan untuk semua negara," katanya dalam satu sidang media pada Ahad.
Tuntutan China ke atas Laut China Selatan dipercayai ada kaitan dengan simpanan minyak dan gas yang bertindih dengan Filipina serta Brunei, Malaysia, Vietnam dan Taiwan.
Filipina membawa kes pertikaian wilayah dengan China itu kepada timbang tara antarabangsa pada Januari 2013 selepas kapal kerajaan China menduduki beting yang dipertikaikan yang terletak di barat laut negara itu.
Ia mahu tribunal itu memutuskan tuntutan China ke atas 80 peratus kawasan berkenaan serta pendudukannya di lapan beting dan terumbu karang adalah tidak sah di sisi undang-undang. Tribunal itu memberikan masa kepada Filipina sehingga Ahad untuk menyerahkan dokumen perundangannya.
Kementerian Luar China dalam satu kenyataan minggu lalu menegaskan tidak akan terlibat dalam tribunal berkenaan dan menggesa Filipina berhenti daripada meneruskan usaha itu bagi mengelak hubungan dua hala yang keruh.
Ia menegaskan China "komited mengurus dan menyelesaikan isu itu dengan dialog dan rundingan."
Filipina menggesa negara-negara lain yang mempunyai kepentingan dalam isu tuntutan wilayah itu untuk menyertai kes berkenaan tetapi setakat ini belum ada yang berbuat demikian. Selain China dan Filipina, Malaysia, Brunei, Taiwan dan Vietnam mempunyai tuntutan bertindih di Laut China Selatan.
China sebelum ini meminta negara-negara lain itu supaya menyelesaikan pertikaian itu secara satu sama satu serta memberi amaran kepada Washington untuk tidak campur tangan. Pendekatan itu dilihat akan memberi kelebihan kepada China kerana pengaruhnya di rantau ini.
Sementara itu, di Washington, jurucakap Jabatan Negara, Marie Harf menyokong tindakan Filipina dan berkata " semua negara harus menghormati hak negara lain… dan menyerahkan kepada mekanisme penyelesaian pertikaian di bawah Konvensyen Undang-Undang Laut".
Manila menuduh tuntutan China yang meliputi kawasan seluas 1,611 kilometer dari pesisir pantai China yang terdekat dan mencerobohi hak Filipina terhadap pentas benuanya.
Sebuah kapal milik Filipina pada Sabtu melepasi sekatan dua buah kapal pengawal China ketika dalam misi mengirimkan bekalan kepada tentera Filipina yang ditempatkan di sebuah kapal yang diletakkan di kawasan itu sejak 1999. -- Agensi
#Brunei
#China
#Filipina
#Laut China Selatan
#Malaysia
#Taiwan
#Tribunal Antarabangsa Undang-Undang Laut
#Vietnam