Filipina, China saling tuduh-menuduh, kapal berlanggar di Laut China Selatan

Bernama
Ogos 31, 2024 06:20 MYT
BRP Teresa Magbanua didakwa mengalami kerosakan yang ketara selepas dilanggar tiga kali oleh kapal pengawal pantai China pada pagi Sabtu. - Foto AP
MANILA: Filipina dan China saling tuduh-menuduh pada Sabtu selepas kapal pengawal pantai mereka berlanggar di Laut China Selatan, dengan masing-masing mendakwa pihak lain melakukan kendalian berbahaya di kawasan yang dipertikaikan, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Tiada kecederaan dilaporkan dalam pelanggaran di Terumbu Sabina, juga dikenali sebagai Terumbu Escoda di Filipina, yang merupakan insiden kelima antara aset pasukan laut dan udara kedua-dua negara di Laut China Selatan bulan ini.
Pengawal pantai Filipina mendakwa kapal mereka, BRP Teresa Magbanua, mengalami kerosakan yang ketara selepas dilanggar tiga kali oleh kapal pengawal pantai China pada pagi Sabtu.
"Pengawal pantai China melakukan kendalian berbahaya walaupun tidak diprovokasi," kata Komodor Jay Tarriela, jurucakap pengawal pantai untuk Laut Filipina Barat.
Terdapat lubang yang merupakan hasil daripada pelanggaran langsung yang dilakukan oleh pengawal pantai China," katanya.
Tarriela berkata Teresa Magbanua telah dikepung oleh kapal China, termasuk dua kapal pengawal pantai China dan dua bot tentera laut China, semasa ia "berkeliaran" di sekitar Terumbu Sabina, yang terletak dalam zon ekonomi eksklusif Filipina.
Pengawal pantai China pula menyalahkan Filipina atas insiden itu, dengan mengatakan, "Tanggungjawab sepenuhnya terletak pada Filipina."
"Kapal Filipina No. 9701 sengaja melanggar kapal China No. 5205, yang sedang melaksanakan penguatkuasaan undang-undang secara normal, dengan cara yang tidak profesional dan berbahaya, menyebabkan pelanggaran," katanya dalam satu kenyataan.
-- BERNAMA
#kapal pengawal pantai #Laut China Selatan #Terumbu Sabina #BRP Teresa Magbanua
;