Filipina, China capai perjanjian untuk elak pertempuran di Laut China Selatan

Bernama
Julai 21, 2024 14:47 MYT
Perjanjian itu dicapai selepas beberapa siri rundingan di Manila, susulan ketegangan yang meningkat di Beting Thomas Kedua. - Reuters
MANILA: Filipina dan China mencapai perjanjian "sementara" pada Ahad untuk mengelakkan konfrontasi di sebuah beting yang dipertikaikan di Laut China Selatan, di mana tentera Filipina ditempatkan di atas kapal terdampar di perairan berkenaan, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Perjanjian itu dicapai selepas beberapa siri rundingan di Manila, susulan ketegangan yang meningkat di Beting Thomas Kedua yang dikenali sebagai Beting Ayungin oleh Filipina, menurut Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina.
"Filipina dan Republik Rakyat China telah mencapai persefahaman mengenai pengaturan sementara untuk pembekalan semula keperluan harian dan misi penggiliran ke kapal BRP Sierra Madre di Beting Ayungin.
"Kedua-dua pihak terus mengiktiraf keperluan untuk meredakan keadaan di Laut China Selatan dan menguruskan perbezaan melalui dialog dan rundingan serta bersetuju bahawa perjanjian ini tidak akan menjejaskan kedudukan masing-masing di Laut China Selatan," menurut jabatan itu dalam satu kenyataan.
Tiada butiran diberikan mengenai perjanjian itu, tetapi diplomat Filipina sebelum ini berkata bahawa kedua-dua pihak telah bersetuju untuk mewujudkan talian penting peringkat tinggi bagi mengelakkan konfrontasi semasa perjalanan rutin Filipina untuk membawa bekalan kepada tentera di BRP Sierra Madre.
Beting itu terletak 195 kilometer barat wilayah Palawan di Filipina dan berada dalam zon ekonomi eksklusif Filipina.
-- BERNAMA
#perjanjian #China #Filipina #Laut China Selatan #konfrontasi