Filipina beri amaran fenomena El Nino mulai Jun

Bernama
Mei 2, 2023 21:24 MYT
El Nino menyaksikan suhu permukaan laut yang lebih panas daripada purata di Pasifik khatulistiwa tengah dan timur. - Gambar Reuters/Lisa Marie David
MANILA: Biro cuaca Filipina pada Selasa memberi amaran bahawa fenomena El Nino diramal berlaku dari Jun hingga Ogos tahun ini dan berlarutan sehingga suku pertama 2024.
"Keadaan terkini dan ramalan menunjukkan El Nino mungkin berlaku pada Jun-Ogos dengan 80 peratus kebarangkalian dan mungkin berterusan sehingga suku pertama 2024," menurut Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina (PAGASA), lapor Xinhua.
Berdasarkan perkembangan itu, amaran El Nino secara rasminya dikeluarkan, menurut biro berkenaan.
El Nino menyaksikan suhu permukaan laut yang lebih panas daripada purata di Pasifik khatulistiwa tengah dan timur.
Fenomena El Nino menyebabkan kemungkinan hujan berkurangan berbanding kelaziman dan seterusnya mencetuskan kesan negatif seperti musim kering dan kemarau.
Bagaimanapun, hujan luar biasa dijangkakan berlaku di bahagian barat negara itu.
-- BERNAMA
#El Nino #permukaan laut #PAGASA #hujan luar biasa
;