Filipina bakal terima dos vaksin pertama, program vaksinasi bermula minggu depan

Agensi
Februari 25, 2021 16:38 MYT
Seorang petugas kesihatan di Manila menunjukkan langkah pengurusan program imunisasi menggunakan kit olok-olok dalam satu acara simulasi. - Reuters
MANILA: Filipina bakal menerima bekalan pertama vaksin COVID-19 pada hujung minggu ini bagi membolehkan program imunisasi negara itu dimulakan pada minggu depan, lapor Reuters.
Walaupun menjadi antara negara dengan kes jangkitan COVID-19 tertinggi di Asia, Filipina menjadi negara terakhir di Asia Tenggara yang menerima bekalan vaksin.
Sejumlah 600,000 dos vaksin Sinovac Biotech yang disumbangkan oleh China itu dijangka tiba pada Ahad, ujar jurucakap Presiden Rodrigo Duterte, Harry Roque.
"Program vaksinasi akan bermula Isnin berikutan rakyat negara ini yang teruja,” katanya.
Antara individu terawal yang akan divaksinasi ialah seorang pegawai dari sebuah hospital yang kehilangan kedua-dua ibu bapanya akibat virus korona, dan juga seorang pemandu beca roda tiga, kata Roque.
Filipina telah menempah sejumlah 25 juta dos vaksin Sinovac dan sepatutnya menerima bekalan pertama pada 23 Februari lalu, namun ditangguhkan.
Selain Sinovac, 10,000 dos vaksin yang dibangunkan Sinopharm dari China juga bakal diterima, selain vaksin AstraZeneca yang dijadualkan tiba pada Mac nanti.
“Saya akui, jika kita masih mahukan jenama dari negara Barat, kita akan terus menunggu,” kata Roque.
Duterte, yang semakin menjalin hubungan baik dengan China telah merenggangkan hubungan Filipina dengan beberapa negara Barat. Sebelum ini, beliau pernah menyatakan bahawa beliau lebih memilih untuk memperoleh vaksin dari China atau Rusia.
Program vaksinasi amat kritikal bagi negara kepulauan itu untuk melonjakkan semula ekonominya, yang mengalami kemerosotan sehingga 9.5 peratus tahun lalu gara-gara perintah berkurung yang panjang.
#Filipina #vaksin #Sinovac #China #pandemik #COVID-19
;