Filipina arah rakyatnya di Afghanistan segera dipindahkan
Bernama
Ogos 16, 2021 20:15 MYT
Ogos 16, 2021 20:15 MYT
MANILA: Filipina mengarahkan 130 rakyatnya yang berada di Afghanistan dipindahkan segera selepas Kabul jatuh ke tangan Taliban.
Pada Ahad, Jabatan Luar Negeri Filipina meningkatkan tahap amaran di Afghanistan ke tahap empat, amaran keselamatan tertinggi dikeluarkan kepada pelancong dan pekerja Filipina yang berada di negara itu, lapor Xinhua.
"Keadaan keselamatan semakin buruk di Afghanistan menyaksikan Presiden Afghanistan Mohammad Ashraf Ghani terpaksa melarikan diri.
"Di bawah tahap amaran itu, kerajaan Filipina mewajibkan pemindahan semua warga Filipina dari kawasan itu," demikian menurut kenyataan jabatan berkenaan.
Kedutaan Besar Filipina di Pakistan, yang ditauliahkan serentak ke Afghanistan, berkerjasama rapat dengan jabatan itu berhubung proses membawa pulang warga Filipina menerusi penerbangan sewa khas.
-- BERNAMA