Filipina ambil langkah jadikan perceraian sah di sisi undang-undang
Agensi
Mac 19, 2018 05:26 MYT
Mac 19, 2018 05:26 MYT
Filipina pada Isnin mengambil langkah lanjut bagi membolehkan perceraian apabila Kongres meluluskan undang-undang yang membenarkan seseorang membubarkan perkahwinan, lapor Reuters.
Langkah itu bagaimanapun tidak disokong presiden dan golongan pemimpin gereja di negara yang rata-ratanya beragama Roman Katolik.
Filipina yang mempunyai populasi Katolik terbesar di Asia, dan Vatican, adalah dua negara di dunia tanpa undang-undang perceraian, kata ahli politik Filipina.
Ahli Kongres Emmi de Jesus berkata, undang-undang itu adalah sebagai maklum balas kepada desakan ramai wanita yang mahu bebas dari hubungan yang gagal, khususnya bagi menjauhkan diri dari suami-suami yang melakukan penderaan atau kekerasan.
Sebelum ini, dalam satu pungutan undian, 134 undi menyokong usul tersebut, 57 membantah, manakala dua lagi berkecuali, dari Presiden Rodrigo Duterte.
De Jesus berkata, proses perundangan patut berfungsi sewajarnya. Bagi membolehkan perkara itu dicapai, pihak tertinggi Senat juga perlu meluluskan undang-undang itu namun ia masih di peringkat draf.
Namun, meskipun Senat mengikut langkah Kongres, Duterte boleh menggunakan kuasa veto untuk membatalkannya.
Duterte, yang secara sah membatalkan perkahwinannya, menentang usaha untuk membolehkan perceraian. Jurucakapnya Harry Roque, memberitahu, Duterte bimbang terhadap nasib dan kebajikan anak-anak yang ibu bapa mereka bercerai.
Tahun lalu, kaji selidik tentang perceraian oleh sebuah badan bebas, Social Weather Stations, mendapati bahawa 53 peratus populasi bersetuju agar undang-undang itu digubal.