Filipina akan kuat kuasa semula peraturan kemasukan pra-pandemik untuk pelancong asing
Bernama
Mac 25, 2022 18:47 MYT
Mac 25, 2022 18:47 MYT
MANILA: Filipina akan menguatkuasakan semula peraturan kemasukan pra-pandemik untuk warga asing lengkap vaksin COVID-19 dari negara yang memerlukan visa mulai 1 April, lapor Xinhua.
"Warga asing dibenarkan memasuki Filipina tanpa memerlukan dokumen pengecualian kemasukan (EED) serta mematuhi keperluan visa tertakluk dengan syarat kemasukan dan pelepasan imigresen," kata Timbalan Jurucakap Presiden Kristian Ablan pada Jumaat.
Filipina mengenakan peraturan EED untuk pelancong dari negara yang memerlukan visa ketika pandemik melanda.
Dalam satu sidang media, Ablan berkata warga asing mesti lengkap vaksinasi, kecuali kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah yang melancong bersama ibu bapanya.
Beliau menambah pengembara mesti mengemukakan "bukti vaksinasi yang boleh diterima," ujian RT-PCR atau ujian antigen berasaskan makmal dengan keputusan negatif dalam tempoh 48 jam, sebelum berlepas dari negara asal.
"Tiada lagi kuarantin sejurus sampai tetapi perlu memantau sendiri sebarang tanda atau gejala dalam tempoh tujuh hari ketibaan," tambah Ablan.
Pengumuman dasar kemasukan baharu itu dibuat lima hari selepas Presiden Filipina Rodrigo Duterte menandatangani perintah eksekutif melonggarkan syarat kemasukan pelancong asing ke negara itu untuk merancakkan pelancongan antarabangsa, pelaburan asing, dan memulihkan pekerjaan dalam sektor pelancongan.
Langkah itu adalah sebahagian usaha kerajaan mempercepat dan memulihkan negara daripada impak pandemik COVID-19.
Pada 10 Februari, Filipina membuka semula pintu sempadannya kepada pelancong asing dari 157 negara dan wilayah bebas visa selepas dua tahun dibelenggu pandemik.
-- BERNAMA