Filipina: 167 meninggal dunia akibat ribut Megi, 110 masih hilang
Bernama
April 16, 2022 12:29 MYT
April 16, 2022 12:29 MYT
MANILA: Angka kematian akibat tanah runtuh dan banjir di Filipina yang dicetuskan ribut tropika Megi meningkat kepada 167, manakala 110 lagi masih hilang, menurut Majlis Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan pada Sabtu.
Hujan lebat melanda wilayah tengah dan selatan Filipina mengakibatkan banjir dan tanah runtuh di beberapa perkampungan di bandar Baybay dan bandar Abuyog di wilayah Leyte, lapor Agensi Berita Xinhua.
Pada Jumaat, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte melawat wilayah yang terjejas dan menyerahkan bantuan kepada mangsa terselamat.
Filipina adalah antara negara paling terdedah kepada bencana alam di dunia, terutamanya kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik dan Taufan Pasifik.
Secara purata, negara itu mengalami 20 ribut taufan setiap tahun.
Megi adalah ribut pertama melanda negara Asia Tenggara itu tahun ini. - BERNAMA