Festival beli-belah 'Singles Day' diadakan lebih awal tahun ini

Agensi
Oktober 31, 2020 12:27 MYT
Alibaba Group Holding Ltd akan melancarkan festival membeli-belah Singles Day lebih awal pada tahun ini. - Gambar fail
BEIJING: Alibaba Group Holding Ltd akan melancarkan festival membeli-belah ‘Singles Day’ lebih awal pada tahun ini.
Langkah itu diharap dapat membantu melonjakkan jualannya ketika China sedang mendorong pemulihan ekonomi akibat kesan COVID-19, lapor Reuters.
Syarikat teknologi itu akan menawarkan dua tempoh membeli kepada pengguna iaitu pada 1 hingga 3 November dan tarikh tradisi, 11 November itu sendiri.
Alibaba juga dilaporkan turut memperkenalkan lebih dua juta produk baharu iaitu dua kali ganda daripada jumlah tahun sebelumnya.
Setakat ini pengguna di China menunjukkan fasa pemulihan dengan perbelanjaan isi rumah yang semakin meningkat.
Alibaba mengubah ‘Hari Singles’ tidak rasmi China menjadi acara membeli-belah satu hari pada tahun 2009 dan menjadikannya festival penjualan dalam talian terbesar di dunia.
Tahun lalu sahaja ia mencatatkan penjualan AS$38.4 bilion pada satu hari tersebut.
Ketua Pegawai Pemasaran Alibaba, Chris Tung berkata, Alibaba menjangkakan wabak COVID-19 akan mendorong pembelian barangan mewah kerana larangan perjalanan global menyebabkan pengguna China tidak dapat membeli-belah di luar negara.
Penghantaran pakej juga dijangka meningkat sebanyak 30 peratus dari tahun lalu.
#COVID-19 #ekonomi #Alibaba Group Holding Ltd #singles day #China #syarikat teknologi #festival
;