Festival Air Kemboja kembali selepas 3 tahun terhenti akibat pandemik

Bernama
November 26, 2023 05:20 MYT
Sebanyak 337 bot dengan kira-kira 20,417 kru mengambil bahagian dalam Festival Air tahun ini, berlumba sejauh 1.7 kilometer di sepanjang sungai Tonle Sap. - Facebook Panharoth Kim
PHNOM PENH: Festival Air tahunan, festival terbesar di Kemboja kembali pada Ahad selepas tiga tahun tidak diadakan akibat pandemik COVID-19, lapor Xinhua.
Perlumbaan bot menjadi tumpuan utama festival tiga hari itu yang menyaksikan puluhan ribu pengayuh dan penonton dari seluruh negara Asia Tenggara membanjiri tebing sungai di ibu negara Phnom Penh.
Naib pengerusi jawatankuasa kawalan teknikal perlumbaan bot Bou Chumserey berkata kira-kira 337 bot dengan kira-kira 20,417 kru mengambil bahagian dalam regatta tahun ini.
"Pengayuh dan bot mereka akan berlumba sejauh 1.7 kilometer di sepanjang sungai Tonle Sap dengan melalui istana raja," katanya kepada Xinhua.
Beliau berkata festival itu juga menandakan berakhirnya musim hujan tahunan dan aliran terbalik unik Sungai Tonle Sap yang menghubungkan Tasik Tonle Sap dengan Sungai Mekong.
Raja Kemboja Norodom Sihamoni bersama Perdana Menteri Hun Manet dan tetamu kenamaan dijadual menyaksikan perlumbaan bot dari pentas yang didirikan di tebing sungai di hadapan istana pada petang Ahad.
Selain menonton regatta pada waktu siang, pengunjung festival boleh menikmati perarakan kapal berhias, bunga api serta konsert pada waktu malam.
Gabenor Perbandaran Phnom Penh Khuong Sreng pada Sabtu berkata lebih 10,000 anggota keselamatan telah dikerahkan untuk memastikan ketenteraman dan keselamatan pengunjung festival semasa cuti tiga hari yang berlangsung sehingga Selasa minggu depan.
--BERNAMA-XINHUA
#festival air #lumba bot #sungai Tonle Sap #Kemboja
;