Feri Sewol karam: Enam lagi mayat ditemui, korban terkini cecah 242
AFP
Mei 4, 2014 16:09 MYT
Mei 4, 2014 16:09 MYT
Pasukan penyelam Korea Selatan berhempas pulas pada Ahad untuk memasuki kabin yang terhalang di dalam kapal Sewol yang karam hampir tiga minggu lalu ketika jumlah mangsa yang terkorban kini meningkat kepada 242.
Enam lagi mayat ditemui awal hari ini, selepas 18 hari kejadian feri seberat 6,825 tan itu karam bersama 476 penumpang di dalamnya di mana kebanyakan dari mereka ialah pelajar sekolah manakala lebih 60 masih lagi belum dijumpai.
“Pihak penyelamat menggunakan peralatan untuk membuka kabin yang terhalang itu,” kata jurucakap Ko Myeong-Suk dalam satu sesi taklimat pada pagi.
Misi mencari terganggu ekoran arus deras dan ombak tinggi namun ia tidak menghalang pasukan penyelamat untuk meneruskan pencarian dalam keadaan mencabar dan adakalanya bahaya.
Pasukan penyelamat tetap meneruskan misi mencari sambil menggunakan bantuan tali untuk turun ke dalam feri malang itu, dan terpaksa melalui bahagian sempit dan serpihan yang terapung di samping air keruh.
Beberapa barangan peribadi milik penumpang turut ditemui di beberapa kawasan yang semakin jauh dari lokasi kejadian, mengakibatkan kebimbangan bahawa mangsa-mangsa yang masih hilang tidak mungkin akan ditemui.
Satu mayat dijumpai pada Jumaat kira-kira empat kilometer oleh sebuah kapal perikanan, dan satu lagi mayat dijumpai dua kilometer dari lokasi sebenar kejadian pada Rabu.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa telah memasang jaring di sekeliling lokasi berkenaan.
Peralatan bilik tidur milik feri terbabit pula ditemui kira-kira 30 kilometer jauh dari lokasi itu pada Jumaat.
325 penumpang feri tersebut merupakan pelajar dari sebuah sekolah menengah di Bandar Ansan, selatan Seoul.
Kemarahan orang ramai memuncak terhadap kapten dan anak kapal yang dilaporkan meninggalkan feri terbabit ketika ratusan masih terperangkap di dalamnya, dan terhadap pihak berkuasa ekoran semakin banyak bukti kelonggaran standard keselamatan dan kemungkinan salah laku rasuah.
Kapten dan 14 krew telah ditahan setakat ini.
Salah seorang kapten syarikat pengendali feri Sewol Chonghaejin Marine Co memberitahu, syarikat terbabit telah menepis laporan dan amaran bahawa feri berusia 20 tahun itu mempunyai masalah kestabilan sejak 2012.
Dua pegawai syarikat tersebut telah ditahan pada Jumaat atas dakwaan membenarkan muatan berlebihan di atas feri tersebut sekali gus melanggar tahap yang dibenarkan undang-undang.