Feri karam: "Penumpang tidak dibenarkan berganjak dari tempat duduk"

Astro Awani
April 17, 2014 13:36 MYT
Insiden feri karam di perairan Korea Selatan awal pagi Rabu kini mendapat kecaman daripada pelbagai pihak selepas laporan mengenai penumpang feri tersebut diarah untuk duduk ditempat masing-masing ketika kejadian itu berlaku, bukannya membiarkan mereka untuk keluar menyelamatkan diri.
Penumpang yang berjaya diselamatkan rata-rata menceritakan pengelaman yang sama dimana mereka disuruh pihak kru kapal untuk kembali ke tempat masing-masing dan tidak dibenarkan berganjak ke mana-mana.
Bagi mereka yang mengikut arahan tersebut, peluang untuk mereka menyelamatkan diri hilang selepas feri tersebut mula terangkat ke sebelah bahagian, seterusnya terbalik dan terus karam ke dalam lautan.
Seorang mangsa yang terselamat, Kim Sung-Mook memberitahu beliau terpaksa bergelut ketika hendak menyelamatkan kira-kira 30 pelajar.
“Saya tidak dapat pergi ke ruang utama kerana seluruh feri sudah menjadi condong,” kata Kim.
“Kapal sudah mula ditenggelami air dan mereka tidak mampu berpegang kepada apa-apa pun. Mereka tidak mampu untuk merangkak kerana lantai licin dipenuhi air dan sangat condong,” katanya lagi.
Dengan menggunakan hos kebakaran, Kim berjaya menarik beberapa pelajar, “tetapi mereka terlalu ramai ... saya tidak mampu untuk membantu kesemua mereka.”
Seorang pelajar yang juga menjadi mangsa kapal karam ini berkata, kebanyakkan penumpang terus duduk di tempat sendiri selama ‘30 ke 40 minit’ selepas kapal tersebut mula ditenggelami air, selaras dengan arahan yang diterima daripada anak kapal dan ke atas sistem Tannoy dalaman.
“Mereka terus berkata perkara yang sama: ‘Duduk setempat. Jangan bergerak’,” kata seorang lagi mangsa yang terselamat, Huh Young-Ki.
“Kami pula tertanya-tanya sesama sendiri: ‘Kita tidak mahu berganjak ke? Kita tidak mahu cuba untuk keluar?’ Tetapi pengumuman dalam feri memberitahu bahawa bantuan akan tiba dalam 10 minit,” Huh memberitahu saluran televisyen News Y.
Ramai tidak berganjak
Disiplin merupakan satu perkara yang amat penting dalam sistem pendidikan di Korea Selatan dan ini menyebabkan pemerhati membuat kesimpulan bahawa seramai 375 pelajar remaja tersebut hanya mengikut arahan yang diberi kepada mereka.
“Jika kami disuruh untuk keluar lebih awal, lebih ramai daripada kami dapat melompat ke dalam air,” seorang pelajar yang terselamat memberitahu saluran televisyen MBC.
Tetapi ramai duduk di tempat sendiri seperti yang diarahkan,” tambahnya.
Sebaik sahaja kapal seberat 6,825 tan itu terangkat, ia terus terbalik dalam keadaan menegak 90 darjah sebelum terbalik sepenuhnya dan akhirnya tenggelam ke dalam lautan.
Seorang lelaki menjerit meminta tolong
Kapten kapal Sewol, Lee Joon-Seok merupakan antara orang pertama berjaya menyelamatkan diri sebelum feri tersebut karam dan kini dia sedang disoal siasat oleh pasukan penyiasat pada Khamis.
Lee menutup mukanya menggunakan bajunya ketika dikerumuni kamera stesen televisyen dan wartawan sambil menjawab soalan demi soalan yang diajukan kepadanya dengan nada perlahan.
Seorang wanita berusia 61 tahun berjaya menyelamatkan diri selepas tidak mengendahkan arahan untuk duduk di tempat sendiri kerana menurutnya, air mula memenuhi kapal itu.
“Saya berenang untuk seketika dan kemudian berjaya naik ke dek atas dan kemudian ke sebuah tingkap dimana saya melihat beberapa orang berpaut di situ,” beliau memberitahu wartawan semasa menerima rawatan di hospital.
“Seorang lelaki terhempas di tingkap sambil menjerit meminta tolong. Bot penyelamat tiba dan terus memecahkan tingkap itu dan kemudian terus menyelamatkan kami,” katanya.
Setakat ini hanya 179 orang berjaya diselamatkan, ini menyebabkan ramai mula gelisah memikirkan nasib 287 lagi penumpang yang masih belum ditemui dan dikhuatiri masih terperangkap dalm akapl tersebut.
#feri karam #Korea Selatan #pelajar #penumpang #Sewol