Feri karam: Indonesia tamatkan operasi menyelamat

Astro Awani
Jun 7, 2022 08:00 MYT
Petugas Badan Mencari Dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia ketika operasi mencari dan menyelamat mangsa feri karam di Selat Makassar. - Foto AP
JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menamatkan operasi mencari dan menyelamat mangsa feri karam selepas 10 hari operasi dijalankan dengan kematian mencecah 19 orang.
Seramai 31 mangsa termasuk kru dan penumpang berjaya diselamatkan manakala 4 mayat ditemui setakat ini.
5 lagi mangsa yang masih hilang disahkan meninggal dunia.
Ketua pasukan mencari dan menyelamat, Djunaidi berkata, operasi ditamatkan selepas tiada tanda-tanda terdapat mangsa yang boleh ditemui lagi.
Feri KM Ladang Pertiwi kehabisan minyak dan karam dalam cuaca buruk ketika belayar melalui Selat Makassar di wilayah Sulawei Selatan pada 26 Mei lalu.
TONTON: Feri Karam: 26 dilaporkan hilang di luar pantai Indonesia
Feri itu tidak mempunyai permit untuk mengangkut penumpang dan kedua-dua kapten serta pemilik kapal sudah ditahan untuk disoal siasat.
Tiada maklumat rasmi berapa ramai penumpang tetapi pihak berkuasa berkata mereka percaya terdapat 42 orang di atas kapal ketika bot itu karam.
Kapten feri itu yang terselamat menjadi suspek kerana memindahkan penumpang tanpa permit sementara pemilik feri didakwa kerana memiliki pekerja tanpa kelayakan yang sesuai.
Menurut Djunaidi operasi mencari dan menyelamat itu akan dibuka semula sekiranya ada tanda mangsa yang terselamat.
Kemalangan marin adalah perkara biasa di kepulauan Asia Tenggara di sekitar 17,000 pulau di mana piawaian keselamatan sering longgar.
Pada Mei sebuah feri yang membawa lebih 800 orang terkandas di perairan cetek di luar wilayah Nusa Tenggara Timur selama dua hari.
Tiada kecederaan dilaporkan.
Pada 2018 kira-kira 150 maut akibat lemas apabila sebuah feri karam di salah satu tasik terdalam di dunia di Pulau Sumatera.
#feri karam #Operasi pencarian #Selat Makassar #mangsa
;