Feri karam: Angka kematian meningkat 146

Astro Awani
April 23, 2014 13:06 MYT
Pihak pendakwa Korea Selatan pada Rabu menggeledah pejabat pengusaha feri yang karam pada 16 April lepas, kediaman pemiliknya serta semua pihak berkaitan, lapor agensi berita Xinhua .
Pejabat pendakwaan Inchon kini sedang menjalankan siasatan tuduhan rasuah ke atas pemilik kapal tersebut, Yoo Byung-eon dan ahli keluarganya.
Pihak penyiasat menggeledah kira-kira 20 lokasi termasuk rumah Yoo, syarikatnya serta kumpulan-kumpulan agama yang berkaitan dengan Yoo dalam mencari dokumen serta data berkaitan.
Syarikat Cheonghaejin Marine, iaitu pengusaha feri yang karam berdekatan Pulau Jindo itu dicurigai telah mengubahsuai feri tersebut secara haram bagi menambah kapasiti penumpang dan muatan.
Sementara itu, angka kematian terus naik mendadak kepada lebih 146 orang pada Selasa selepas pasukan penyelam berjaya menemui mayat yang masih terperangkap dalam feri malang itu.
Keadaan cuaca yang bertambah baik memudahkan operasi pencarian mangsa, namun jarak penglihatan di dalam air adalah terhad menyebabkan pasukan penyelam terpaksa meraba-raba mencari mayat dalam keadaan serba gelap.
Kapal seberat 6,825 tan yang membawa seramai 476 orang itu menyaksikan kira-kira 200 mangsa belum berjaya ditemui walaupun operasi mencari hampir memasuki seminggu.
Angka rasmi mengesahkan 146 orang maut dan 156 masih hilang.
Ahli keluarga mangsa yang terkesan disebabkan tragedi ini terus menunggu di Pelabuhan Jindo yang terletak tidak jauh daripada lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat terkini.
Sami Buddha mendoakan keselamatan penumpang Feri Sewol yang karam pada 16 April lalu – Foto oleh AP
Feri yang membawa kebanyakkannya pelajar sekolah menengah ini menyaksikan ibu bapa dan ahli keluarga mangsa naik berang selepas pelbagai spekulasi muncul.
Dengan misi mencari yang masih berterusan lebih seminggu ini, kesabaran mereka semakin memuncak memikirkan anak-anak yang masih terperangkap dalam kapal tersebut.
‘Saya mahu anak saya kembali’
‘Saya hanya mahu anak saya kembali,” rintih seorang bapa kepada salah seorang pelajar yang masih hilang dalam tragedi malang ini. ‘Saya mahu pegang dia dan ucapkan selamat tinggal. Saya tidak boleh terima kenyataan anak saya berada dalam keadaan gelap dan sejuk begitu.”
Seorang lelaki tidak dapat menahan sebak ketika melawat memorial memperingati mangsa nahas feri karam di Dewan Memorial Olimpik Ansan. Foto oleh AFP.
Kejadian ini telah mencetuskan kemarahan dikalangan ibu bapa dan ahli keluarga mangsa dimana pihak pengawal pantai, ahli politik serta Perdana Menteri Korea Selatan turut berdepan dengan kritikan.
Kapten feri tersebut, Lee Joon-Seok, yang telah ditahan oleh pihak berkuasa kini berdepan dengan tuduhan kecuaian jenayah serta meninggalkan penumpang-penumpangnya.
Enam lagi anak kapal feri tersebut turut ditahan dan menurut pihak pendakwaan, dua lagi telah ditahan pada Selasa.
Presiden Park Geun-Hye, yang turut menerima kecaman orang ramai ketika melawat lokasi kejadian di Jindo minggu lalu menyifatkan tindakan Lee serta anak kapalnya yang meninggalkan penumpang dalam keadaan terdesak sebagai ‘sama seperti membunuh’
Angka kematian yang naik mendadak ini dikaitkan dengan arahan kapten feri tersebut yang menyuruh penumpang duduk di tempat sendiri selama 40 minit selepas feri tersebut mula menunjukkan tanda-tanda ia bakal karam.
Ketika arahan pemindahan dikeluarkan, kapal tersebut telah mula condong dan pada waktu itu, mangsa tidka lagi mampu untuk menyelamatkan diri sendiri.
Transkrip yang dikeluarkan pada Ahad menunjukkan komunikasi akhir antara anak kapal dan kawalan pengangkutan laut berbaur panic dan kecelaruan sebelum kapal tersebut tenggelam sepenuhnya.
Kapten Lee memeprtahankan dirinya dengan mengatakan tindakannya adalah untuk keselamatan penumpang, melewatkan proses meninggalkan kapal kerana menurutnya, dia bimbang penumpang akan lemas jika mereka terjun ke dalam laut.
‘Tugas berat kepada penyelam’
Kira-kira 750 penyelam pengawal pantai dan tentera kini terlibat dengan operasi mencari.
“Cuaca bertambah baik, tetapi ia masih sukar untuk penyelam mencari mangsa yang terperangkap disebabkan keadaan air yang berlumpur,” jurucakap pengawal pantai memberitahu pemberita.
Pada Selasa, keutamaan diberikan kepada misi mencari di sekitar dewan makan utama feri tersebut.
“Kami percaya banyak mayat terperangkap di situ memandangkan pelajar-pelajar sedang menikmati sarapan pagi,” tambah jurucakap tersebut.
Pasukan mencari dan penyelam terus mencari mangsa yang masih terperangkap dalam Feri Sewol yang karam minggu lalu. Foto oleh AP
Daripada 476 orang yang berada dalam feri tersebut, 352 merupakan pelajar Sekolah Menengah Danwon yang terletak di Bandar Ansan, dimana mereka dalam perjalanan ke Pulau Jeju untuk lawatan sekolah.
Antara mayat yang dijumpai termasuk tiga warga luar negara, dipercayai seorang warga Rusia dan dua rakyat China.
#feri Sewol #Korea Selatan #mangsa #maut #pengusaha #Seoul
;