Feri bawa 251 penumpang terbalik, empat maut

Agensi
Disember 21, 2017 21:29 MYT
Seramai 240 orang telah diselamatkan oleh nelayan dan bot penyelamat telah dikerahkan oleh pengawal pantai sejam selepas kejadian itu berlaku. - Foto Facebook / Mercraft
Empat orang maut manakala tujuh lagi hilang selepas sebuah feri yang membawa 251 penumpang terbalik akibat cuaca buruk kira-kira lapan kilometer dari bandar Real berhampiran wilayah Quezon, Filipina.
Menurut pegawai bencana dan jurucakap pengawal pantai, seramai 240 orang telah diselamatkan oleh nelayan dan bot penyelamat telah dikerahkan oleh pengawal pantai sejam selepas kejadian itu berlaku.
"Operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan sehingga semua penumpang dan anak kapal ditemui," kata jurucakap pengawal pantai Kapten Armand Balilo.
Pihak pengawal pantai memaklumkan, kemalangan melibatkan bot layar di kepulauan Filipina adalah perkara biasa, namun tidak bagi feri tersebut kerana ia mempunyai kapasiti untuk memuatkan 286 penumpang.
Dalam kejadian tersebut, dua lelaki dan dua wanita mati lemas, sementara kebanyakan penumpang yang diselamatkan dibawa ke pelabuhan Dinahican.
#Armand Balilo #cuaca buruk #feri #feri terbalik #Filipina #Manila #wilayah Quezon
;