Fenomena 'Pancake Ice', dari mana datangnya?
Agensi
Januari 30, 2021 08:29 MYT
Januari 30, 2021 08:29 MYT
SIFATNYA seperti bunga teratai yang sering dijumpai di atas permukaan air tetapi dalam bentuk bulat dan terhasil daripada ketulan ais.
Sebenarnya, fenomena yang menjadi tular di media sosial baru-baru ini adalah dikenali sebagai “Ice Pancakes” atau lempeng ais.
Sebelum ini, sebuah video yang dikongsi oleh Lembaga Perikanan Salmon Daerah Ness (NDSFB) menunjukkan satu fenomena yang disebut sebagai Pancake Ice yang dilihat memenuhi permukaan air di kawasan bandar Inverness, Scotland.
Menurut laman web rasmi Met Office, fenomena itu cukup jarang berlaku dan ia hanya boleh dijumpai di tasik dan lautan yang sangat sejuk seperti lautan Baltik dan Antartika.
Untuk pengetahuan anda, fenomena lempeng ais ini boleh terbentuk dalam dua cara yang berbeza, pertama dengan ombak yang menyebabkan kepingan ais saling bersentuhan lalu berubah bentuk bulat.
Selain itu, ia juga dipercayai terbentuk ketika buih-buih di sungai atau lautan mulai membeku ketika diserap ke arus air yang berpusing dan terbentuk menjadi bentuk bulat, tambah Met Office.