Fenomena El Nino berkembang, tingkat kemungkinan musim taufan lebih kuat
Bernama
Jun 9, 2023 14:20 MYT
Jun 9, 2023 14:20 MYT
WASHINGTON: Pusat Ramalan Iklim Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat berkata corak cuaca El Nino telah berkembang secara rasmi, meningkatkan kemungkinan musim taufan yang lebih kuat untuk wilayah pantai Teluk dan Atlantik.
Pertubuhan Meteorologi Sedunia pada Mei meramalkan kemungkinan besar fenomena El Nino berkembang pada tahun 2023. Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan kini mengesahkan bahawa fenomena iklim lautan sememangnya telah berlaku, lapor United Press International (UPI).
"Fenomena El Nino telah tiba dan dijangka semakin bertambah kuat memasuki musim sejuk Hemisfera Utara 2023-24," menurut kemas kini Pusat Ramalan Iklim pada Khamis.
"Bulan lalu, El Nino yang lemah muncul apabila suhu permukaan laut melebihi purata bertambah kuat merentasi khatulistiwa Lautan Pasifik. Semua indeks El Nino mingguan terkini adalah lebih daripada +0.5 darjah Celsius," kata pegawai pusat itu.
Pusat itu meramalkan corak iklim akan berterusan sepanjang musim sejuk ini malah boleh bertambah ketara pada musim luruh.
"Pada musim kemuncaknya, peluang El Nino yang kuat adalah hampir sama seperti bulan lepas," menurut pusat itu.
Fenomena El Nino berlaku apabila permukaan Lautan Pasifik menjadi hangat, menyebabkan perubahan cuaca yang ketara. Fenomena cuaca La Nina berlaku apabila Lautan Pasifik sejuk.
Mac lalu, WMO mengisytiharkan fenomena La Nina selama tiga tahun telah berakhir dan pada bulan Mei, Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebngsaan meramalkan bahawa musim taufan hampir mencapai normal tahun ini.
-- BERNAMA