Fenomena aneh hamparan 'ais telur' di pantai Finland
Astro Awani
November 8, 2019 08:24 MYT
November 8, 2019 08:24 MYT
Di negara empat musim seperti Eropah, November ialah bulan peralihan daripada musim luruh kepada musim sejuk.
Di sesetengah negara, walaupun masih mengalami musim luruh dengan cuaca cerah, suhu yang dicatatkan cukup sejuk, malah ada yang merekodkan sehingga paras beku.
Ketika peralihan musim beginilah berlakunya beberapa fenomena cuaca yang pelik termasuk yang dialami seorang jurufoto amatur ini.
Risto Mattila tidak menyangka kunjungannya ke kawasan pantai bersama isteri memberikan pengalaman dan anugerah luar biasa yang tidak pernah dialaminya.
Matilla menjadi saksi fenomena cuaca aneh, hamparan ribuan ais berbentuk telur terdampar di sepanjang kawasan pantai di Finland.
Tidak membuang waktu, Mattila segera membidik kameranya dan merakam fenomena itu yang disifatkan oleh pakar sebagai jarang berlaku.
Hamparan "ais berbentuk telur" sepanjang 30 meter itu ditemukan di Pulau Hailuoto, Teluk Bothnia, yang letaknya di antara dua negara Finland dan Sweden.
"Cuaca ketika kejadian sangat cerah, ada juga angin dengan suhu -1 °C di bawah paras beku.
"Pemandangan ketika itu sangat memukau, ada salji dan ais melitupi kawasan pantai,'' katanya kepada BBC News.
Menurut Matilla, beliau tidak pernah mengalami peristiwa itu sepanjang 25 tahun menetap di kawasan tersebut.
"Memandangkan pada waktu itu saya ada membawa kamera, saya rakamkan sudut terbaik pemandangan fenomena menarik itu untuk tatapan di kemudian hari,'' kata Matilla.
Beliau memberitahu paling kecil ketulan ais ditemuinya bersaiz sebiji telur, manakala paling besar sebiji bola sepak.
Sementara itu, pakar cuaca George Goodfellow memaklumkan ia proses luar biasa di mana ketulan ais terapung disebabkan pergerakan angin dan arus air.
"Ia mungkin disebabkan salji yang terbentuk tetapi menjadi terapung bergerak dibawa arus ombak sehingga menukar bentuknya menjadi bulat atau bujur seperti telur,'' katanya.
Fenomena hampir sama seperti itu pernah dilaporkan berlaku di Tasik Michigan, berhampiran Chicago dan perkampungan Nyda, Siberia, Rusia.
Pada 2016, penduduk di Nyda, terkejut apabila menemui ketulan besar ais dan salji melitupi kawasan pantai sejauh 18 kilometer.
Saiz ketulan ais itu kebanyakannya sebesar bola tenis.
#ais
#bola sepak
#cuaca aneh
#eropah
#Fenomena
#Finland
#luar biasa
#musim luruh
#musim sejuk
#Pantai
#Rusia
#salji
#Siberia
#Sweden
#telur