FDA luluskan ubat tingkatkan nafsu seks wanita

Reuters
Ogos 19, 2015 14:25 MYT
Walaupun telah diluluskan, ubat yang dipasarkan di bawah nama Addyi ini mengandungi risiko kesan sampingan yang serius.
Pihak Pentadbiran Makanan dan Perubatan (FDA) Amerika Syarikat telah meluluskan ubat pertama di dunia khusus untuk meningkatkan nafsu wanita muda yang sudah hilang minat dalam seks.
Direka oleh Sprout Pharmaceuticals yang berpusat di North Carolina, ubat flibanserin yang dipasarkan dibawah nama "Addyi" itu menerima kelulusan dari FDA dengan syarat wanita tidak mengambil ubat tersebut dengan alkohol kerana risiko kesan sampingan yang serius.
Campuran dengan alkohol boleh menyebabkan mereka yang mengambilnya cenderung terhadap tekanan darah rendah yang melampau serta pitam.
"Oleh kerana interaksi yang serius dengan alkohol, rawatan dengan Addyi hanya boleh didapati melalui farmasi yang berlesen," kata Pengarah Pusat FDA untuk Penilaian Dadah dan Penyelidikan, Janet Woodcock, dalam satu kenyataan.
Woodcock berkata, FDA meluluskan Addyi untuk satu keadaan kesihatan yang dikenali sebagai "acquired, generalized hypoactive sexual desire disorder" (HSDD) atau kehilangan nafsu seks secara tiba-tiba dan teruk.
HSDD boleh terjadi di kalangan wanita yang sebelum ini aktif secara seksual hingga menyebabkan kemurungan dan masalah perhubungan, tetapi "ia tidak dicetus oleh keadaan kesihatan atau psikiatri yang sedia ada atau kesan pengambilan perubatan."
"Orang yang mengambil Addyi perlu betul-betul memahami risiko yang dikaitkan dengan ubat ini sebelum menggunakannya," tambah Woodcock.
FDA mengesyorkan bahawa wanita yang menggunakan pil tersebut untuk berhenti menggunakannya jika mereka tidak melihat sebarang perubahan pada libido mereka selepas lapan minggu.
Pada Jun lalu, sebuah panel penasihat kepada FDA mendesak pihak penyelia untuk meluluskan flibanserin setelah menentangnya sebanyak dua kali sebelum ini.
Cubaan untuk memperkenalkan ubat ini di pasaran gagal pada tahun 2010 dan 2013 setelah pakar menyifatkan manfaatnya tidak menyeluruh berbanding placebo.
#Addyi #FDA #flibanserin #nafsu #seks #wanita
;